Isnin, 3 April 2017 | 10:11am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
esuruhjaya ke Suruhanjaya ASEAN Bagi Penggalakan Hak dan Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak merangkap Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Perangi kes seksual kanak-kanak secara komprehensif, holistik

RANG Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibentangkan di Dewan Rakyat Selasa lalu, untuk bacaan kali pertama.

Antaranya peruntukan baharu bagi kesalahan berkaitan pornografi kanak-kanak; kesalahan terhadap aktiviti dandanan kanak-kanak, kesalahan berkaitan serangan seksual, kesalahan serangan seksual fizikal dan kesalahan serangan seksual bukan fizikal. Apakah elemen ini mencukupi?

Wartawan BH Ahad, NAZURA NGAH dan MOHD ANWAR PATHO ROHMAN mendapatkan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pesuruhjaya ke Suruhanjaya ASEAN Bagi Penggalakan Hak dan Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak merangkap Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

S: Apakah signifikan penggubalan rang undang-undang ini dalam usaha memperkasakan perundangan bagi melindungi kanak-kanak bawah umur 18 tahun daripada jenayah seksual?

J: Antara perkara yang ditekankan bagi memperkasakan perundangan untuk melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual adalah dengan mewujudkan hukuman lebih berat buat pelaku jenayah seksual. Antaranya ialah mengikut Rang Undang-Undang (RUU) itu, manamana orang yang membuat, menghasilkan, mengarahkan pembuatan atau penghasilan pornografi kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan. Individu yang mengakses atau mempunyai dalam milikan dan kawalannya apa-apa pornografi kanak-kanak pula boleh dihukum selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya. Individu yang melakukan kesalahan amang (sexual assault) seksual fizikal boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan. Bagi amang seksual bukan fizikal seperti melakukan aktiviti bersifat seksual di hadapan kanak-kanak selain mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak dengan apa cara berulang kali atau kerap, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

S: Bagaimana rang undang-undang yang memperuntukkan tujuh elemen penting ini mampu menambah baik dan melengkapi undang-undang sedia ada?

J: Seperti yang kita ketahui, peruntukan baharu ini dijadikan sebagai tambahan untuk menyokong undang-undang sedia ada seperti Akta KanakKanak 2016 dan Akta Kanun Keseksaan. Akta baharu ini menekankan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan lebih spesifik dan mendalam seperti aktiviti pengantunan kanak-kanak (child grooming), amang seksual (sexual assault), yang terdiri daripada kesalahan amang seksual fizikal dan bukan fizikal yang mana tidak terkandung dalam mana-mana undang-undang sedia ada.

S: Adakah RUU ini sudah mengambil kira segala keperluan perlindungan terhadap kanak-kanak termasuk memastikan akta yang akan diluluskan ini relevan dengan peredaran masa akan datang, khususnya modus operandi jenayah?

J: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sambutan Hari Wanita 25 Ogos 2016, sudah menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji bagaimana jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat ditangani secara holistik. Anggota pasukan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang dan sudah mengadakan beberapa mesyuarat, perbincangan serta kajian dengan pihak berkepentingan, termasuk Bahagian D11- Siasatan Seksual dan Kanak-Kanak daripada Polis Diraja Malaysia sebelum RUU ini dibentangkan ke Kabinet dan seterusnya Parlimen. Segala aspek telah diambil kira bagi memastikan RUU ini menepati keperluan semasa. Oleh itu sokongan daripada semua Ahli Parlimen amat penting bagi memastikan RUU ini dapat diluluskan di Dewan Rakyat supaya isu jenayah seksual dapat ditangani secara komprehensif dan holistik. Anggota pasukan khas terdiri daripada wakil Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, ahli akademik, serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khasnya berkaitan kanak-kanak seperti National Council of Women's Organisation (NCWO), UNICEF-Malaysia, P S The Children, Women Centrefor Change (WCC), Malaysian Social Workers Association (MASW), International Women Rights Action Watch Asia Pacific (IWRAW) dan lain-lain.

S: Adakah undang-undang ini mencukupi pendakwaan terhadap individu di luar negara yang melakukan pengantunan kanak-kanak (child grooming) di negara ini menerusi media sosial. Setakat mana keperluan bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa?

J: Undang-undang ini hanya terpakai kepada semua rakyat Malaysia. Bagaimanapun, bahagian antarabangsa berpandangan jika berlaku aktiviti pengantunan terhadap kanak-kanak Malaysia, masih ada ruang untuk kita mengekstradisi penjenayah itu atas prinsip 'passive personality'. Namun masih tertakluk kepada kepentingan umum negara terbabit dan selari dengan undang-undang sejagat yang memperakui bahawa pelakuan suspek itu adalah perbuatan jenayah (pada kebiasaannya terhadap jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan). Perkara ini ada disebut dalam Seksyen 4 Kanun Keseksaan.

S: Adakah rang undang-undang ini mengambil kira modul/model perundangan negara lain. Sejauh mana kesesuaiannya dengan situasi di negara ini?

J: Ya, RUU ini mengambil kira modul/model perundangan negara lain seperti United Kingdom (UK), Australia, Kanada, India, Amerika Syarikat, Singapura, New Zealand dan Afrika Selatan untuk mengenal pasti kesalahan yang wajar diperkenalkan di Malaysia. Ini penting bagi memastikan konsep perlindungan terhadap kanak-kanak adalah sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa dan memenuhi keperluan semasa.

Bagaimana struktur Mahkamah Jenayah Khas yang akan diwujudkan bagi membantu melancarkan pelaksanaan rang undangundang berkenaan?

J: Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri untuk mewujudkan Mahkamah Jenayah Khas adalah satu langkah proaktif kerajaan bagi memastikan tiada pesalah jenayah seksual terlepas daripada hukuman yang diperuntukkan dalam undang-undang terbabit. Mahkamah Jenayah Khas ini berbeza dengan Mahkamah Kanak-Kanak sedia ada yang hanya mengendalikan kes di mana pelaku jenayah adalah kanak-kanak. Kewujudan Mahkamah Jenayah khas ini akan membantu melindungi kanak-kanak secara holistik, sekali gus mempercepat dan melancarkan prosiding serta perbicaraan kes membabitkan kanak-kanak dalam tempoh hanya satu tahun. Hakim-hakim akan diberi latihan khusus bagi mengendalikan Mahkamah Jenayah Khas ini.

S: Pada pandangan Datuk, apakah signifikan penggubalan rang undang-undang ini yang dikatakan hendak melindungi kanak-kanak bawah umur 18 tahun daripada jenayah seksual?

J: Undang-undang ini diwujudkan untuk memberi perlindungan tambahan kepada kanak-kanak atau seseorang yang berumur di bawah 18 tahun daripada jenayah seksual. Peruntukan yang terkandung menjangkaui peruntukan sedia ada seperti dalam Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-kanak 2001 atau Akta Keterangan Kanak-Kanak 2007. Ia juga merangkumi perbuatan seksual atau mukadimah kepada perbuatan seksual, termasuk 'child grooming' atau disebut sebagai 'amang'. Ia juga meliputi perbuatan atau ajakan melalui media baharu seperti internet, Facebook dan lain-lain

S: Adakah tujuh elemen penting yang terkandung dalam RUU ini mampu menambah baik dan melengkapi undang-undang sedia ada?

J: Tujuh elemen baharu ini penting diwujudkan kerana itu bagi mengisi kelompangan dalam undang-undang terdahulu. Ia melengkapi perundangan terdahulu kerana sebelum RUU ini, ramai orang yang melakukan kesalahan, terlepas kerana tidak boleh didakwa. Rang undang-undang ini juga sudah mengambil kira segala keperluan yang dikehendaki untuk melindungi kanak-kanak. Namun undang-undang ini secara berani dan jelas memasukkan hubungan sama jantina sebagai kesalahan jika ia dilakukan terhadap kanak-kanak. Perbuatan onani yang dibuat di hadapan kanak-kanak juga suatu kesalahan.

S: Adakah undang-undang ini mencakupi pendakwaan terhadap individu di luar negara yang melakukan 'child grooming' di negara ini menerusi media sosial. Adakah kita perlu bekerjasama dengan pihak luar?

J: Undang-undang ini nampaknya menjangkaui batasan negara. Dalam bahasa undang-undang kita disebut 'extra territorial'. Jika buat di luar negara pun boleh diambil tindakan. Mungkin rang undang-undang ini mengambil contoh undang-undang luar negara tetapi ia unik bagi Malaysia

S: Apa pandangan Datuk mengenai cadangan mewujudkan Mahkamah Jenayah Khas bagi membantu melancarkan pelaksanaan rang undangundang berkenaan?

J: Saya tidak pasti sama ada negara perlu wujudkan Mahkamah Jenayah Khas kerana jika pelaku adalah orang dewasa, dia mesti dibawa ke Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi. Jika ada keperluan menaik taraf mahkamah sedia ada, ia wajar kerana mahkamah sedia ada boleh membicarakan kes seperti ini. Cuma perlu disebutkan di sini yang naik taraf itu, termasuk kemudahan sidang video supaya saksi, jika kanak-kanak tidak perlu berdepan dengan pelaku/tertuduh. Jika pelaku adalah kanak-kanak, ia perlu dibawa ke mahkamah kanak-kanak.

S: Sejauh mana kesesuaian RUU ini dengan situasi di negara ini yang mempunyai pelbagai anutan agama dan budaya?

J: Saya tidak nampak ia satu masalah. Undang-undang ini dibuat oleh Parlimen Persekutuan dan 'of general application' atau pemakaian umum. Kesalahan yang disebut boleh berlaku kepada semua kanak-kanak tanpa mengira agama dan bangsa. Ia adalah perbuatan terkutuk dan perlu dihukum setimpal dengan kesalahannya.

S: Bagaimana dengan isu perkahwinan bawah umur. Adakah perlu satu peruntukan khusus dalam undang-undang ini?

J: Undang-undang ini tidak menyentuh perkahwinan bawah umur. Ia terfokus kepada mangsa di bawah umur 18 tahun yang dipergunakan bagi tujuan seksual. Rogol statutori di bawah Kanun Keseksaan tetap wujud dan belum dimansuh. Rang undang-undang ini memanjangkan aplikasi rogol kepada beberapa bentuk lain. Jika pasangan berkahwin dan isteri di bawah umur dan diperguna bagi mana-mana tujuan dalam akta, suami itu masih boleh dihukum kerana ada peruntukan 'orang yang ada hak amanah' seperti ibu bapa, penjaga atau suami.

S: Apa yang Datuk cadangkan untuk mengukuhkan lagi rang undang-undang ini?

J: Ia perlu menjelaskan lagi kedudukan pesalah yang berumur di bawah 18 tahun. Hari ini kanak-kanak semuda 10 tahun mula mengadakan hubungan seksual. Mereka pandai mengguna internet dan teknologi baharu. Undang-undang perlu jelas jika pelaku adalah kanak-kanak, adakah hukuman berbeza atau mereka juga dianggap mangsa? Jika pelaku adalah kanak-kanak perempuan yang melakukan hubungan sejenis, adakah mereka akan dikenakan tindakan? Kedua, isu pasangan yang berkahwin bawah 18 tahun. Kekecualian yang jelas perlu dimasukkan. Ini kerana, pada masa ini, sesiapa yang mengadakan hubungan seks dengan gadis berusia bawah 16 tahun, ia kesalahan statutori. Bagi umat Islam, perkahwinan pada usia 16 hingga 18 tahun dibenarkan. Akan tetapi jika mereka berkahwin dan suaminya mengambil gambar porno mereka, tentu tidak dikenakan tindakan tetapi perlu ada penjelasan kewajaran.

Berita Harian X