Ahad, 2 April 2017 | 8:20pm

Kimchi lawan Beauty and the Beast


POSTER filem Kimchi Untuk Awak dan filem Beauty and the Beast.

KUALA LUMPUR: Dalam keterujaan menunggu reaksi peminat terhadap karya arahannya, Kimchi Untuk Awak, yang memasuki pawagam mulai Khamis lalu, Michael Ang, mengaku cukup gementar kerana naskhah itu berdepan cabaran filem besar, Beauty and the Beast.

Beliau sedar, ramai peminat tertunggu-tunggu filem muzikal daripada Disney itu apabila tayangannya tertangguh sebelum ini, namun Ang sentiasa bersikap optimis.

Filem bercorak romantik, Kimchi Untuk Awak, mempertaruhkan pelakon seperti Emma Maembong, Aiman Hakim Ridza dan Janna Nick, manakala naskhah yang diangkat daripada karya klasik itu pula diterajui bintang terkenal antarabangsa, Emma Watson, selain Dan Stevens dan Luke Evans.

"Saya tetap percaya, masing-masing mempunyai kelompok peminat tersendiri. Saya juga berkeyakinan, semuanya berbalik kepada rezeki.

"Begitupun saya berharap, peminat filem tempatan, terutama peminat Emma, Aiman, Janna dan Sharifah Sakinah, takkan melepaskan peluang menonton lakonan bintang kesayangan mereka.

"Sambil berhibur dengan Beauty and the Beast, jangan lupa tonton sekali Kimchi Untuk Awak," katanya dalam pertemuan bersama BH Online.

Sementara itu, hujung bulan lalu, Ang memulakan penggambaran drama adaptasi novel, Hero Seorang Cinderella. Menerusi drama terkini arahannya itu, beliau menampilkan gandingan Fattah Amin dan Nur Fazura.

Pada awalnya, drama rantaian itu diharap dapat menyatukan semula Fattah dengan teman gandingannya dalam Suri Hati Mr Pilot, Neelofa, namun impian itu tidak menjadi nyata.

"Drama Hero Seorang Cinderella memang dibikin hasil kejayaan Suri Hati Mr Pilot. Cuma pada asalnya, saya berkira-kira mahu mengambil pelakon tidak bertudung kerana drama ini banyak membabitkan babak di rumah. Jadi, tak masuk akal kalau babak di rumah juga pelakon kena bertudung.


EMMA Maembong dan Aiman Hakim di majlis tayangan perdana filem Kimchi Untuk Awak di GSC Pavilion. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Namun, bersama hasrat menyatukan Neelofa dan Fattah sekali lagi, saya rombak jalan ceritanya dan melakukan perubahan kerana aktres itu berhijab.

"Selepas Neelofa memutuskan untuk tidak terbabit dalam drama ini, saya kena cari pengganti. Awalnya, saya tawarkan watak utama wanita kepada Janna (Nick) dan Emma (Maembong), namun mereka berdua terikat dengan penggambaran lain. Kemudian, saya ada berjumpa dengan beberapa pelakon lain, termasuk Fazura dan Fathia.

"Jujurnya, saya tak kisah siapa pun bakat yang bergandingan dengan Fattah kerana saya percaya, pelakon itu mampu menggalas tugas terbabit dengan baik," katanya.

Mengenai telefilem raya Suri Hati Mr Pilot yang kembali menggandingkan Neelofa dan Fattah, beliau percaya, persetujuan dua pelakon berkenaan untuk memberikan komitmen pada projek terbabit menjadi hadiah terbaik buat peminat mereka.

Berita Harian X