Khamis, 30 March 2017 | 7:12pm
FASHA Sandha

Fasha Sandha bersyukur kekal relevan


FASHA Sandha pada majlis sambutan Hari Jadi beliau yang ke -33 di Hotel Park Royal.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fasha Sandha, bersyukur apabila dia tetap diterima baik oleh peminat walaupun pernah menyepi seketika daripada dunia seni.

Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 33, berkata, 2017 umpamanya tahun yang amat baik buatnya kerana rezeki di bidang lakonan tidak pernah putus.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang hadir. Sukar untuk saya jelaskan punca diri ini tetap relevan, tetapi saya percaya berkat disiplin dan kerja keras, selain sokongan peminat, membuatkan saya berdiri teguh di sini.

"Mungkin juga pembabitan saya dalam drama Lara Aishah sepanjang tahun lalu menjadi punca nama saya kembali naik," katanya kepada BH Online.

Fasha berkata demikian ketika ditemui pada sambutan majlis hari lahirnya yang ke-33 di sebuah hotel di sini.

Kata Fasha, lebih menggembirakan dia apabila tersenarai antara calon Top 5 Anugerah Meletop Era (AME) 2017 dalam kategori Bintang Filem Meletop.

Bercerita mengenai usianya yang bertambah setahun lagi, kata Fasha, jatuh bangun yang dilaluinya sebelum ini membuatkan dia lebih matang dari segi peribadi mahupun kerjaya.


FASHA Sandha bersama anak Putra Rayfal Ahsram memotong kek pada majlis sambutan Hari Jadi yang ke -33 di Hotel Park Royal. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Sepanjang 12 tahun dalam industri, Alhamdulillah saya masih utuh berdiri dan maju ke hadapan.

"Apa yang terjadi pada masa lalu tidak menjadikan saya orang yang lemah. Yang penting saya akan terus memperbaiki diri untuk menjadi seorang wanita lebih baik.

"Sambutan hari lahir ini juga dibuat sebagai tanda saya menghargai peminat, rakan dan keluarga yang tidak henti-henti menghulurkan sokongan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fasha bakal muncul menerusi drama siaran TV3, Hanya Tuhan Yang Tahu, bergandingan dengan Saharul Ridzwan, dan Selamat Tinggal Syawal bersama Aqasha.

Fasha turut menjadi penceramah bersempena dengan acara Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) untuk segmen Imej dan Penampilan Diri.

"Saya bukannya bijak sangat, tetapi dipilih menjadi penceramah kerana pihak DFKL berasakan saya pelakon yang kuat dan tidak mudah melatah.

"Mereka juga mahu saya berkongsi pengalaman bagaimana saya tampil dengan imej bersih dan kekal di dalam industri sehingga ke hari ini meskipun pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa dilalui," ujarnya.

Berita Harian X