Khamis, 30 March 2017 | 4:36pm

Dua beradik disyaki dalang curi motosikal

KETUA Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa. - Foto Hafizudin Mohd Safar

SUNGAI PETANI: Polis melumpuhkan satu sindiket curi motosikal susulan penahanan enam suspek termasuk dua beradik yang aktif sejak empat tahun lalu dalam beberapa serbuan di daerah ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, berkata susulan penahanan semua suspek berusia antara 21 hingga 30 tahun itu menyaksikan sebanyak 150 kes kecurian motosikal sekitar daerah ini dapat diselesaikan.

Katanya, pihaknya yang melakukan risikan berjaya menahan dalang sindiket terbabit iaitu dua beradik berusia 21 dan 28 tahun di sebuah rumah di Taman Sejati Indah, 14 Mac lalu.

Soal siasat membawa kepada penahanan tiga rakan mereka yang juga pemilik bengkel serta pembeli motosikal curi dan pencuci kereta.

"Polis kemudian dibawa ke sebuah rumah yang dijadikan bengkel tempat meleraikan motosikal sebelum dijual di Kampung Sireh, Kota Kuala Muda di sini, sebelum menahan pemiliknya dan menemui pelbagai komponen dan rangka motosikal.

"Suspek juga mendedahkan lokasi pembuangan rangka motosikal curi di Sungai Muda berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Tikam Batu, sebelum unit skuba bomba membawa keluar sembilan rangka," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Md Zukir berkata, siasatan lanjut mendapati suspek menjual terus motosikal curi dengan harga murah antaranya Yamaha 125 Z dijual dengan harga RM1,500; Yamaha 135LC (RM500) dan Honda EX5 dan Wave (RM300).

"Dua beradik itu mengaku juga mencuri 150 buah motosikal pelbagai jenis sejak 2013 dengan menjadikan kegiatan terbabit sebagai sumber pendapatan," katanya.'

Berita Harian X