Rabu, 29 March 2017 | 4:00pm

Sokong RUU jenayah seksual kanak-kanak: MCPF 

NAIB Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
NAIB Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

KUALA LUMPUR: Semua pihak, khususnya ahli Parlimen diminta menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibentangkan di Parlimen, semalam.

 

Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sokongan terhadap RUU itu penting bagi menangani eksploitasi dan kekejaman seksual terhadap kanak-kanak.

 

Katanya, sokongan daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang juga bakal membuktikan kedua-dua pihak itu mampu bekerjasama terhadap usaha seumpamanya pada masa depan.

 

"Undang-undang yang dicadangkan ini hanya dapat dilaksanakan dengan baik jika semua peringkat dalam komuniti memberi sokongan. 

 

"Mereka juga perlu memainkan peranan membantu pihak berkuasa menahan dan mendakwa pelaku kesalahan di mahkamah khas untuk kes sedemikian.

 

"Kerjasama antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang juga membuka mata kita mengenai keupayaan mereka bersama-sama menyokong undang-undang yang boleh memberi faedah kepada masyarakat, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, membentangkan RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

 

Antara kesalahan jenayah di dalam RUU itu adalah pornografi kanan-kanak, persediaan seksual dan serangan seksual sama ada fizikal atau bukan fizikal terhadap kanak-kanak.

 

Lam Thye berkata, jenayah seksual terhadap kanak-kanak berleluasa dan wujud sekian lama kerana kelemahan undang-undang untuk menanganinya secara berkesan.

 

Beliau turut meminta semua pihak memberi publisiti menyeluruh mengenai RUU itu apabila ia diluluskan oleh Parlimen.

Berita Harian X