Rabu, 29 March 2017 | 12:52pm

Beauty and The Beast: KDN hanya ikut prosedur

FILEM Beauty and The Beast.
FILEM Beauty and The Beast.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya mematuhi prosedur sedia ada di bawah Akta Penapisan Filem 2002 dalam isu penapisan filem Beauty and The Beast yang dibangkitkan pelbagai pihak akhir-akhir ini.

KDN dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan Lembaga Penapis Filem (LPF) berperanan menonton tapis filem-filem sebelum ditayangkan kepada umum di negara ini sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan.

"Berhubung filem Beauty and The Beast, LPF menonton tapis filem itu pada 17 Februari lalu dan memberi keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP) membabitkan tiga potongan serta satu dialog disenyapkan.

"Pengubahan itu dibuat atas asas ia mengandungi elemen mempromosi gaya hidup 'gay'. Isu berkaitan penangguhan tayangan filem ini di Malaysia adalah keputusan pihak pengeluar iaitu Walt Disney Pictures (Walt Disney) dan pengedar filem, Buena Vista Columbia Tristar Films (M) Sdn Bhd (Buena Vista).

"Keputusan penangguhan tayangan filem berkenaan tiada kaitan dengan LPF dan sebagaimana diperuntukkan di bawah akta sedia ada, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan LPF boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) dalam masa 30 hari dari tarikh keputusan LPF," katanya.

Lanjutan itu, mengikut kenyataan yang sama, pihak pengeluar filem iaitu Walt Disney melalui Buena Vista mengemukakan rayuan kepada JKRF pada 20 Mac lalu, yang menonton tapis filem itu dan menimbang rayuan pihak pengeluar filem pada 21 Mac lalu.

JKRF memberi kelulusan untuk tayangan filem itu di Malaysia di bawah klasifikasi P13 tanpa potongan (Lulus Bersih dengan klasifikasi P13) atas alasan elemen 'gay' dalam filem berkenaan adalah ringan dan tidak menjejaskan elemen positif yang dipaparkan filem itu.

JKRF ialah sebuah jawatankuasa yang bebas daripada LPF yang ditubuh berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 dan tidak terikat dengan keputusan LPF, malah JKRF diperuntukkan kuasa untuk mengesahkan, mengubah atau mengakas keputusan LPF.

Pada hakikatnya, LPF dan JKRF wujud secara berasingan seperti mana digariskan Akta Penapisan Filem, sekali gus menunjukkan terdapatnya elemen periksa dan pertimbangan dalam proses penapisan filem di negara ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X