Selasa, 28 March 2017 | 2:23pm

Rang undang-undang baharu fokus 7 elemen

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Asyraf Hamzah
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi fokus kepada tujuh elemen penting untuk diperuntukkan dalam rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata peruntukan baharu itu dijadikan sebagai kesalahan tambahan untuk menyokong undang-undang sedia ada.

"Tujuh elemen itu adalah peruntukan kesalahan berhubung pornografi kanak-kanak, aktiviti pengantunan kanak-kanak (child grooming), amang seksual (sexual assault), yang terdiri daripada kesalahan amang seksual fizikal dan bukan fizikal.

"Yang keenam, peruntukan hukuman yang dikenakan terhadap orang yang mempunyai hubungan kepercayaan dengan kanak-kanak (offence by person in relationship of trust), dan kebolehpercayaan dan keterangan saksi," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Timbalannya, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mengulas lanjut, Azalina berkata beliau dan Rohani akan mengadakan taklimat mengenai butiran lanjut pembentangan rang undang-undang itu dengan Ahli Parlimen BN dan pembangkang, masing-masing pada esok dan lusa.

"Setakat ini, 115 Ahli Parlimen yang menyokongnya... kita ada 222 Ahli Parlimen secara keseluruhan.

"Jadi saya harap pada 3 April depan, kita akan dapat sokongan semua. Kita mesti bersatu (menyokong) dalam perkara ini (meluluskan rang undang-undang berkenaan)," katanya.

Terdahulu, rang undang-undang itu dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama oleh Azalina.

Azalina berkata, bacaan kali kedua dan ketiga rang undang-undang berkenaan akan dijalankan pada mesyuarat yang sama.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X