Isnin, 27 March 2017 | 5:49pm

Had pengeluaran minyak tidak wajar dilanjutkan - Goldman Sachs

BENGALURU: Lanjutan pemotongan pengeluaran minyak bersama oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar bukan OPEC adalah tidak wajar, melainkan fundamental bekalan dan permintaan merosot, menurut Goldman Sachs.

"OPEC dan pengeluar utama lain sepatutnya bimbang jika pemotongan itu dilanjutkan, melainkan jika terdapat kelemahan permintaan minyak global atau output dari Libya atau Nigeria bertambah," menurut bank itu dalam satu nota daripada barisan penganalisis diketuai oleh Damien Courvalin.

"Penilaian kami terhadap fundamental minyak dan rasional di belakang pemotongan minyak adalah ia tidak wajar, kerana pada pandangan kami, lanjutan sedemikian akan menghalang sama ada pertumbuhan permintaan atau pertambahan mendadak pengeluaran di Libya atau Nigeria.

"Kami percaya bahawa proses menyeimbangkan semula pasaran minyak sedang menunjukkan kemajuan di sebalik rekod tertinggi inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS)."

Selepas bermesyuarat di Kuwait hujung minggu lalu, satu jawatankuasa bersama menteri negara pengeluar minyak OPEC dan bukan OPEC bersetuju untuk melakukan semakan semula pada mesyuarat akan datang bulan depan, sama ada pakatan global untuk mengehadkan bekalan sewajarnya dilanjutkan enam bulan lagi menjelang tarikh akhir pelaksanaannya hujung Jun ini.

Goldman Sachs menyatakan, walaupun adalah bermanfaat bagi pengeluar minyak mentah berkos rendah mempercepatkan 'normalisasi' inventori minyak, mereka tidak sepatutnya menyasarkan harga minyak memantul tinggi.

"Harga minyak di atas AS$60 setong terbukti membawa masalah kepada diri sendiri pada pandangan kami, berikutan keluk kos minyak yang mendatar selain halaju bekalan minyak syal yang tidak pernah berlaku sebelum ini," menurut bank itu.

Harga minyak susut semalam, apabila peningkatan aktiviti cari gali minyak di AS mengatasi kemungkinan bahawa pemotongan pengeluaran akan dilanjutkan.

Penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent jatuh sebanyak 33 cents, atau 0.65 peratus berbanding penutup terakhirnya kepada AS$50.47 setong pada 0653 GMT.

Di AS, niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut 41 cents, atau 0.85 peratus pada AS$47.56 setong.

Sejak pertengahan 2016, pengeluaran minyak AS meningkat sebanyak 700,000 tong sehari (bpd), atau 8.3 peratus kepada 9.13 juta bpd, lapor data kerajaan. - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X