Rabu, 31 Disember 2014 | 2:49pm

MCA kumpul sumbangan RM1.1 juta bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: MCA hari ini menerima sumbangan bernilai RM1.1 juta termasuk wang tunai dan barangan keperluan asas bagi membantu mangsa banjir di negeri terjejas.

Ia menjadikan jumlah sumbangan terkumpul yang diterima parti itu setakat ini bernilai RM2.1 juta.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata barangan itu akan disalurkan kepada mangsa-mangsa secara berperingkat.

"Setakat ini, kami telah mengumpulkan sumbangan bernilai lebih RM2 juta tetapi saya fikir kami perlukan lebih banyak lagi (sumbangan) untuk meneruskan, untuk membekalkan barangan dan air ke pusat-pusat penempatan," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Sumbangan wang tunai itu didermakan beberapa syarikat termasuk tiga dari negara China yang turut bersimpati dengan mangsa bencana alam berkenaan.

Liow berkata, sumbangan daripada pelbagai pihak itu menunjukkan perpaduan rakyat negara ini dalam membantu mereka yang sedang dalam kesusahan.

- BERNAMA

Berita Harian X