Jumaat, 24 March 2017 | 10:10am

Model sambilan didakwa pandu bawah pengaruh dadah

BUKIT MERTAJAM:  Seorang model sambilan yang memandu melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan, minggu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.

Tertuduh, Ng Pei Ven, 19, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan ke atasnya, di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Berdasarkan pertuduhan, Pei Ven didakwa memandu kenderaan jenis Proton Gen 2 di bawah pengaruh dadah di Kilometer 134 Lebuhraya Utara-Selatan dari Plaza Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth, kira-kira jam 7.50 pagi, 14 Mac lalu.

MODEL Sambilan, Ng Pei Ven ketika hadir ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk didakwa di bawah Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun serta lucut lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani, manakala tertuduh diwakili peguam Parmjit Singh.

Terdahulu, Razali memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin, selain meminta tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh sama bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jamaliah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin, selain menetapkan 12 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Pada 17 Mac lalu, Pei Ven mengaku tidak bersalah selepas didakwa memasukkan dadah jenis syabu ke dalam badannya dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin.

Bagi pertuduhan itu, Pei Ven didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Berita Harian X