Khamis, 23 March 2017 | 7:17pm

Ular sembunyi dalam mangkuk tandas


SEEKOR ular tedung selar sepanjang tiga meter berjaya ditangkap selepas bersembunyi dalam mangkuk tandas sebuah rumah penduduk di Kampung Kuala Roman, Jeneri, di sini pagi tadi.

SIK: Seekor ular tedung selar sepanjang tiga meter ditangkap selepas bersembunyi dalam mangkuk tandas sebuah rumah penduduk di Kampung Kuala Roman, Jeneri, di sini pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fazilah Abdul Majid, berkata seramai enam anggota bergegas ke lokasi kejadian dalam tempoh kurang 15 minit selepas menerima panggilan, jam 8.58 pagi.

"Pemeriksaan mendapati terdapat seekor ular tedung selar bersembunyi dalam mangkuk tandas sebelum alat penjerut dan penyepit digunakan untuk menangkap haiwan reptilia terbabit.

"Kami mengambil masa 10 minit kerana ia bersembunyi hingga menyukarkan usaha menangkapnya sebelum berjaya ditarik keluar selepas diumpan," katanya yang dihubungi di sini sebentar tadi.

Mohd Fazilah berkata, ular tedung selar itu berkemungkinan mencari tempat bersembunyi sebelum masuk ke tandas rumah penduduk berkenaan.

"Kita akan lepaskan haiwan terbabit di habitat asalnya yang jauh dari penempatan penduduk supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Berita Harian X