Rabu, 22 March 2017 | 3:59pm
MAYAT Rizzuan Nazri ditemui kira-kira tiga meter di dasar tasik oleh anggota bomba dan penyelamat pada jam 11.10 pagi.
MAYAT Rizzuan Nazri ditemui kira-kira tiga meter di dasar tasik oleh anggota bomba dan penyelamat pada jam 11.10 pagi.

Mekanik lemas ketika ambil beg dalam tasik berlumpur


MAYAT Rizzuan Nazri ditemui kira-kira tiga meter di dasar tasik oleh anggota bomba dan penyelamat pada jam 11.10 pagi.

SUNGAI BULOH: Seorang mekanik buggy lemas ketika cuba mengambil beg kasut milik seorang pemain golf di tasik sebuah kelab golf, di sini, pagi tadi.

Mayat Rizzuan Nazri, 32, ditemui kira-kira tiga meter di dasar tasik oleh anggota bomba dan penyelamat pada jam 11.10 pagi.

Difahamkan, mangsa mulanya ke tasik itu untuk memeriksa sebuah buggy yang dikatakan mengalami masalah namun, ketika sampai buggy itu didapati sudah terjunam ke dalam tasik.

Mangsa kemudian dikatakan cuba membantu mengambil beg kasut yang terapung di permukaan tasik tetapi, malang apabila dia tenggelam.

Seorang kakitangan di kelab golf yang mendengar jeritan meminta tolong cuba menarik mangsa gagal kerana tersangkut pada lumpur di dasar tasik itu lalu menghubungi pihak bomba.

Ketua Balai Bomba Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamed Sabri A Shamsudeen, berkata 21 anggota dari Balai Bomba Sungai Buloh dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 10.19 pagi.

"Mangsa sebelum itu sudah menyelamatkan peralatan golf yang terjatuh ke dalam tasik bersama buggy itu dan mencari laluan dekat dan cetek untuk mengambil beg kasut yang terapung.

"Dia dikatakan sudah berjaya mencapai beg berkenaan tetapi, gagal untuk naik ke permukaan disebabkan dasar tasik yang berlumpur, " katanya ketika dihubungi BH.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X