Selasa, 21 March 2017 | 3:14pm

Hamil tak halang Sharifah Sakinah bersenam

SHARIFAH Sakinah, masih aktif bersenam.

KUALA LUMPUR: Tinggal beberapa minggu saja lagi sebelum menyambut kelahiran anak sulung, pelakon, Sharifah Sakinah, masih aktif bersenam.

Baginya, sarat berbadan dua bukan halangan untuknya melakukan senaman, malah aktiviti berkenaan diharap mampu memudahkan lagi proses kelahiran cahaya mata pertamanya.

Mengikut perkiraan, bintang video muzik Andainya Takdir dan Cinta Takkan Berakhir nyanyian Anuar Zain ini bakal melahirkan anak, hasil perkahwinannya dengan Aliff Adha, pada bulan depan.

"Insya-Allah, berkemungkinan besar saya akan melahirkan anak sulung pada pertengahan atau hujung April.

"Kehamilan ini pula bukanlah alasan untuk saya tidak melakukan aktiviti mengeluarkan peluh. Lagipun, saya sekadar melakukan senaman ringan. Saya rasa tidak selesa kalau tidak bersenam.

"Selagi ia tidak memudaratkan, saya anggap senaman sebagai keperluan untuk memudahkan proses bersalin nanti. Maklum saja, proses melahirkan itu sendiri memerlukan tenaga dan kudrat yang kuat," katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai perasaannya menunggu kehadiran orang baharu, wanita itu yang berkahwin dengan Aliff pada Mac 2015 memberitahu, suaminya insan paling teruja menantikan kelahiran anak pertama mereka.

"Suami saya gembira bukan kepalang kerana dia memang inginkan anak perempuan. Apatah lagi, dia tidak ada adik-beradik perempuan.

"Bakal anak saya ini juga akan menjadi cucu pertama bagi keluarga suami, manakala di sebelah keluarga saya pula, inilah cucu ke-17," tuturnya yang pernah mengalami keguguran pada awal tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, lakonan Sakinah akan dapat disaksikan di layar lebar apabila beliau muncul dengan filem, Kimchi Untuk Awak, pada 30 Mac ini. Filem berkenaan turut dibintangi Emma Maembong, Janna Nick dan Aiman Hakim Ridza.

Berita Harian X