Selasa, 14 March 2017 | 2:02pm

Hukuman setimpal pada perogol

 JABATAN Peguam Negara, Datuk Ilani Mohd Ibrahim (kiri) bersama Moderator, Wakil Malaysia ke Suruhanjaya ASEAN mengenai penggalakan dan perlindungan hak wanita dan kanak kanak (ACWC), Datuk Prof Noor Aziah Mohd Awal (dua dari kiri) bersama speaker Pasukan Scan Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr Sheila Marimuthu (dua dari kanan) dan PDRM, DSP, Saroja Egamparam pada seminar jenayah seksual kanak kanak : hentikan!!! di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 akan memberi perincian terhadap skop hukuman pelaku, sesuai mengikut keadaan semasa.

Penggubal Undang-undang Parlimen Jabatan Peguam Negara, Datuk Ilani Mohd Ibrahim, berkata pindaan akta ini menggunakan prinsip hukuman setimpal berdasarkan pertimbangan, seperti perundangan lain.

"Pindaan ini termasuk menetapkan peruntukan dengan lebih menyeluruh, sama ada hukuman minimum hingga maksimum mengikut kesalahan pelaku, tetapi tidak terlalu berbeza dengan akta lama, cuma akan ditambah baik dan diperincikan.

"Misalnya, dalam Akta Kanak-Kanak 2001, sudah ada elemen untuk kesalahan pornografi dan persiapan awal pelaku (child grooming) tetapi undang-undang baharu ini akan diperincikan lagi dengan lebih jelas dan lengkap supaya dapat mengheret pesalah ke muka pengadilan.

"Apa yang pasti, akta baharu ini akan menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak itu," katanya pada sesi perbincangan Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!!, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWCT) di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam mengenai undang-undang baharu bagi menangani kesalahan jenayah seksual kanak-kanak.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Deputi Superintendan Saroja Egamparam mengakui, pihaknya menghadapi cabaran dalam siasatan kes seksual membabitkan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berikutan kekurangan mereka untuk bertutur.

"Dalam prosedur biasanya kami akan mendapatkan keterangan rakaman video dan memanggil pakar bahasa isyarat.

"Kami juga menggunakan bantuan anatomi boneka untuk membayangkan apa yang pesalah lakukan kepada diri kanak-kanak itu. Semua gerak-geri kanak-kanak itu akan dirakamkan dan dibawa ke mahkamah," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X