Isnin, 29 Disember 2014 | 6:46pm
DERETAN konvoi 16 buah kenderaan pacuan empat roda dan tiga buah lori berserta 50 orang sukarelawan berlepas dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi Misi Selami Jiwa @ Pantai Timur di Putrajaya, hari ni. Konvoi anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama RELA dan Perbadanan Putrajaya itu membawa dua tan barangan keperluan asas serta empat buah bot untuk keperluan mangsa banjir di pantai timur. - Foto BERNAMA
DERETAN konvoi 16 buah kenderaan pacuan empat roda dan tiga buah lori berserta 50 orang sukarelawan berlepas dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi Misi Selami Jiwa @ Pantai Timur di Putrajaya, hari ni. Konvoi anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama RELA dan Perbadanan Putrajaya itu membawa dua tan barangan keperluan asas serta empat buah bot untuk keperluan mangsa banjir di pantai timur. - Foto BERNAMA

Inisiatif baharu diperkenal untuk beri ruang provasi kepada mangsa banjir - KPWKM

PUTRAJAYA : Beberapa inisiatif baharu diperkenalkan kerajaan tahun ini bagi mempertingkatkan keupayaan dalam mengurus dan mengendalikan bencana dari segi penyediaan ruang privasi kepada mangsa banjir.

Inisiatif itu termasuk mewujudkan pembahagi boleh lipat, khemah boleh lipat dan tikar fom, kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

"Antara ciri inovasi pembahagi boleh lipat ialah ianya boleh dijadikan sebagai pemisah atau boleh disambungkan untuk dijadikan bilik atau kiub dengan menggunakan fungsi cangkuk dan stopper.

"Selain itu, pembahagi itu boleh disusun dan diatur mengikut ruang yang ditetapkan untuk ruang tidur, solat, bilik persalinan dan rawatan," katanya.

Sehingga kini jumlah pembahagi yang telah diagihkan ialah 2,128 buah manakala khemah boleh lipat dan tikar masing-masing telah diagihkan sebanyak 4,000 buah dan 3,000 keping.

Katanya, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kementerian berkenaan sudah bertindak pantas dalam membantu mangsa banjir membabitkan enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor dan Johor.

Namun, jelasnya, antara masalah dihadapi di pusat pemindahan dan mangsa ialah ketiadaan bekalan air dan elektrik, perhubungan jalan terputus dan seterusnya menjejaskan proses penghantaran bekalan makanan kepada mangsa di pusat pemindahan.

"Walau bagaimanapun bagi mengatasi masalah ini, Majlis Keselamatan Negara telah menyewa trak-trak bagi tujuan penghantaran makanan, penyediaan tandas bergerak dan bekalan generator.

"Manakala JKM pula, bersama-sama dengan jawatankuasa kecil di pusat pemindahan, pemimpin tempatan dan sukarelawan sentiasa membuat proses pendaftaran mangsa banjir, serta menyediakan keperluan asas yang lain, katanya

Kementerian turut memaklumkan seramai 517 sukarelawan kebajikan dari seluruh negara telah dikumpulkan untuk membantu pegawai-pegawai JKM bertugas di pusat-pusat pemindahan banjir.

Sehingga hari ini, seramai 74 orang Pegawai Psikologi JKM terbabit dalam misi pengendalian intervensi krisis kepada mangsa banjir (dewasa dan kanak-kanak) membabitkan aktiviti psikoterapi, psikopendidikan, bimbingan dan sokongan psikologikal di pusat-pusat pemindahan yang boleh diakses setakat ini.

KPWKM menyeru individu, NGO dan Badan Korporat untuk menyalurkan sumbangan ke Tabung Amanah KPWKM bagi membantu keperluan mangsa banjir melalui akaun Maybank, 564016600603.

Sumbangan juga boleh diberi melalui cek atas nama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau nama ringkas 'KSU KEM.PEMB. WANITA, K'RGA & MASY', katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X