Isnin, 29 Disember 2014 | 4:41pm

Pementasan sirah sempena Maulidur Rasul

KUALA LUMPUR: Drama muzikal dengan tajuk Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta arahan pengarah terkenal, Eirma Fatima akan dipentaskan pada 3 hingga 6 Januari 2015 di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Pementasan itu adalah drama muzikal riwayat hidup Nabi Muhammad SAW dari kelahiran sehinggalah kewafatan Baginda diiringi selingan lagu-lagu kisah Nabi dan Selawat.

Amazon Entertainment dengan kerjasama Istana Budaya membangkitkan semula pementasan Sirah Junjungan yang pernah dipertontonkan di Istana Budaya pada 2008 dan 2009, bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati kelahiran junjungan besar Rasulullah Muhammad SAW.

Tahun ini, barisan pencinta seni yang akan membuat persembahan dalam rangkaian drama dan alunan lagu-lagu kerohanian ialah Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Awie, Tegar, Datin Sri Umie Aida, Remy Ishak, Beto Kusyairy, Elly Suryati, Dato Rahim Razali, Shiha, Sahronizam, Jessie Lim dan ramai lagi.

Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta adalah satu-satunya produksi pementasan teater Islam yang pertama di Asia Tenggara yang akan memaparkan sejarah hidup Rasulullah SAW bersempena menyambut Maulidur Rasul. Malah skrip dan konsep persembahan ini telah pun diluluskan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada 7 Januari 2015, mulai 2 petang, orang ramai boleh datang ke Istana Budaya bagi pengumpulan makanan kering, pampers, selimut, wang tunai atau barangan-barangan keperluan untuk mangsa banjir.

Artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Erra Fazira akan terlibat dalam inisiatif pengumpulan barang-barang ini. Para artis juga akan muncul untuk malam amal sumbangan buat mangsa-mangsa banjir.

Hasil jualan tiket dari 3 hingga 6 Januari 2015 akan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir dan pada 7 Januari 2015.

Tiket untuk menyaksikan drama muzikal pada 3 hingga 6 Januari itu dijual sejak 26 Disember lalu pada harga RM50, RM100, RM150, RM200, RM250 dan RM400

Berita Harian X