Isnin, 13 March 2017 | 12:03pm

Isu "sexual grooming" antara fokus RUU baharu

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto NSTP
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Isu 'persediaan seksual' atau "sexual grooming" menjadi antara tumpuan dalam Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan jenayah seksual di negara ini, khususnya membabitkan kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata isu 'persediaan seksual' semakin menular kerana pelaku jenayah berkenaan tidak dapat didakwa jika dibawa ke muka pengadilan.

"Kelompangan dalam peruntukan undang-undang adalah antara punca mengapa pelaku jenayah 'persediaan seksual' ini bebas menjalankan kegiatan mereka dengan mensasarkan kanak-kanak untuk sebagai mangsa.

"Mereka (pelaku jenayah) tidak dapat didakwa kerana sebarang sabitan kes di mahkamah perlu mempunyai niat dan pelaksanaan.

"Bagaimanapun, apa yang mereka lakukan adalah sekadar berborak dengan mangsa, tanpa membabitkan sebarang sentuhan fizikal yang membawa kepada pelakuan seksual.

"Sehubungan itu, ini adalah antara cabaran yang perlu kita hadapi untuk merangka peruntukan undang-undang dalam usaha memerangi penularan kegiatan "persediaan seksual" di Malaysia," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas mengendalikan Perbincangan Panel 1: Memahami Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Malaysia yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Sesi berkenaan dibarisi tiga penceramah, iaitu Pegawai Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Superintendan Seroja Egamparam; Wartawan R Age The Star, Maryam Zainol dan Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Eneng Faridah Iskandar.

Azalina berkata undang-undang baharu untuk memerangi pelakuan seksual itu akan bentang dalam tempoh terdekat pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.

Katanya, usaha untuk merangka RUU baharu itu sudah dimaklumkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan ketika ini dalam fasa akhir persediaan.

Azalina berkata penggubalan RUU itu adalah selaras komitmen kerajaan dalam melindungi kebajikan dan kepentingan kanak-kanak, selain memperkukuhkan institusi sosial dalam kalangan masyarakat.

"Perdana Menteri akan umum mengenai undang-undang baharu ini dalam ucapan perasmiannya nanti yang memberi penekanan kepada hala tuju dan dasar kerajaan berhubung isu jenayah seksual kanak-kanak.

"Saya harap semua Ahli Parlimen, tanpa mengira ideologi politik mesti memberi sokongan pada sidang bulan ini supaya RUU untuk membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak berupaya digubal secepat mungkin," katanya.

Berita Harian X