Isnin, 13 March 2017 | 12:38am

Raja Salman tiba di Jepun


RAJA Salman, (kiri) sejurus tiba di Lapangan Terbang Haneda Antarabangsa di Tokyo. - Foto AP

TOKYO: Raja Arab Saudi, Raja Salman tiba di sini semalam, lawatan pertama dalam tempoh lima dekad oleh monarki negara yang kaya dengan minyak itu.

Ketibaan Raja Salman, 81, di lapangan terbang Haneda bagi lawatan empat hari itu disambut oleh Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito.

Baginda dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Shinzo Abe, hari ini dan dijadual bertemu dengan Maharaja Akihito pada esok.

Lebih 1,000 delegasi dilaporkan menyertai rombongan diraja itu.

Menurut media tempatan, kira-kira 1,200 bilik di beberapa hotel mewah di sini, sudah ditempah oleh delegasi bagi tempoh tiga hari sehingga Rabu ini, selain ratusan limosin dibawa untuk kemudahan pelawat itu.

Arab Saudi adalah pengeksport utama minyak ke Jepun, iaitu kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia.

Jepun berharap lawatan itu mampu mengeratkan hubungan kerjasamanya dengan Arab Saudi, selain membantu mempelbagaikan sektor ekonominya, termasuk meningkatkan peluang pelaburan Jepun dalam sektor bukan tenaga seperti pengeluaran.

Kunjungan Raja Salman itu adalah yang pertama oleh pemerintah Arab Saudi sejak 1871, iaitu yang terakhir oleh Almarhum Raja Faisal.

Raja Salman pernah mengunjungi Jepun pada 2014, ketika menjadi Putera Mahkota. Selepas Jepun, baginda dijangka mengunjungi China dan Maldives.

Berita Harian X