Jumaat, 10 March 2017 | 11:50pm

M'sia hos persidangan UFI Asia Pasifik 2018


KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan UFI Asia Pasifik Ke-13 pada 2018, yang dijangka menjana RM1.8 juta dalam impak ekonomi.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Persatuan Global Industri Pameran (UFI), penganjur pameran perdagangan utama dunia, pada Seminar UFI Asia Seminar di Singapura baru-baru ini.

Acara pada 2018 itu akan dianjurkan oleh MyCEB, agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersama-sama dengan Persatuan Konvensyen, Penganjur Pameran dan Pembekal Malaysia (MACEOS).

Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), dalam satu kenyataan hari ini berkata acara itu akan menjadi platform ideal bagi Malaysia untuk mewujudkan peluang perniagaan dengan menarik pembuat keputusan dunia dan pemimpin dalam industri.

"Acara perniagaan telah diiktiraf sebagai satu daripada penyumbang utama dalam Program Transformasi Ekonomi Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020," kata Pengurus Besar Acar Perniagaan MyCEB, Ho Yoke Ping.

Beliau berkata acara berkenaan akan membolehkan peserta industri tempatan mempelajari daripada pakar dalam industri.

UFI mewakili kira-kira 50,000 pekerja industri pameran di peringkat dunia dan persatuan juga bekerjasama rapat dengan anggota persatuan di 84 negara.

- BERNAMA

Berita Harian X