Selasa, 26 Ogos 2014 | 7:22am

Perpaduan kaum tak seiring kemerdekaan ke-57 negara

Dalam masa tidak sampai seminggu lagi kita semua akan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara. Kali ini merupakan sambutan ke-57 selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Masa kini dan masa depan kita sebenarnya penuh dengan pergolakan dalam pelbagai bidang kehidupan.

Sejarah politik kita mentakdirkan rakyat di negara ini dipisah-pisahkan melalui sistem pendidikan berbeza.

Tidak seperti di Indonesia atau Thailand di mana semua rakyat harus mengikuti pendidikan nasional yang menggunakan bahasa kebangsaan, pemimpin politik awal kemerdekaan kita sudah memilih jalan yang berlainan.

Lima dekad selepas pelaksanaannya, kita mula melihat sisi negatif. Perpaduan kaum menjadi isu nasional yang dibimbangi. Kurikulum berkepentingan nasional yang berbeza, mengakibatkan pelbagai generasi mempunyai tanggapan berbeza terhadap simbol kebangsaan, juga pemahaman terhadap sejarah tanah air.

Seorang sarjana Cina yang dahulu aktif menulis iaitu Chew Hock Thye dalam sebuah makalahnya pernah menyebut bahawa: "Sehingga hari ini generasi muda rata-rata tidak mengetahui perhubungan kepentingan kuasa kemerdekaan yang dicapai, menganggap norma dan nilai hidup yang dikecap dan hidup dalam situasi kini sebagai suatu sikap yang 'natural dan patut ada' atau 'memang harus ada.'

Pengorbanan pemimpin

Mereka tidak mengerti sumbangan dan pengorbanan pemimpin negara dalam proses memperjuangkan kemerdekaan.

Bagaimana generasi muda, terutamanya yang terdidik di sekolah aliran kebangsaan di mana subjek sejarah nasional bukan keutamaan, dapat menghayati perjuangan kemerdekaan kita?

Sudahlah anak-anak kita sejak kecil dipisahkan dalam sistem pendidikan yang berbeza, subjek sejarah pula tidak diberi keutamaan maka ia memberi natijah yang kurang baik terhadap isu integrasi nasional.

Jika petikan Hock Thye di atas dilihat daripada aspek perpaduan negara, barangkali generasi muda menganggap perpaduan yang ada pada hari ini dianggap sebagai 'natural dan patut ada' atau 'memang harus ada'.

Mereka ini tidak mengerti akan sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh pemimpin negara, tokoh masyarakat, dan sasterawan pelbagai kaum yang belajar daripada kesilapan masa lalu untuk membentuk acuan perpaduan masa kini.

Masih wajar jika generasi muda menganggap bahawa perpaduan dalam kalangan kita ini 'natural dan patut ada' atau 'memang harus ada.' Beban yang terpikul dibahu kita semua kini ialah bagaimana untuk kita menangani gejala yang semakin ketara.

Remaja dan pelajar Melayu hanya bergaul sesama Melayu; remaja dan pelajar Cina kebanyakannya bergaul sesama Cina; remaja dan pelajar India pula bergaul sesama India.

Generasi muda yang kurang bergaul pula lebih gemar dengan komputer, bermain secara maya atau melayari internet.

Salah guna media sosial

Peranti ini juga menyediakan ruang media sosial, di mana isu sensitif yang menyentuh agama bangsa dan budaya kaum lain boleh ditulis dan disebarkan.

Kebelakangan ini kita menyaksikan bagaimana media sosial disalahgunakan. Ada yang didakwa dan ada pula yang bebas sehingga menimbulkan tanggapan bahawa pihak berkuasa undang-undang melakukan pendakwaan terpilih yang kurang memihak kepada Islam dan orang Melayu.

Minggu ini kita mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kesyukuran, gembira dan menghargai kemerdekaan negara. Kemerdekaan membebaskan kita daripada penjajahan kolonial. Kemerdekaan memberi kita kuasa untuk mencorakkan pembangunan negara dalam pelbagai aspek kehidupan.

Di samping kita memerlukan 'road map' integrasi nasional daripada kerajaan, kita sebagai warganegara harus menyokong usaha perpaduan nasional. Inilah detik yang paling sesuai untuk kita merumuskan perbezaan dalam semangat penyatuan di bawah kibaran Jalur Gemilang.

Kita mengharapkan setiap generasi muda tidak kira Melayu, Cina, India, Siam, Iban, KadazanDusun dan sebagainya akan menghargai, mencintai dan mempertahankan Malaysia.

Menyanjungnya seperti sajak Wu Tiancai, Nyanyian Buat Pertiwi ini: Ku hidup di tanah yang begitu indah, mendung cerah negara mendung cerahku, elok dan bencana negara terikat kuat denganku, hidup mati tanah sehidup semati denganku, aib negara aibku, gah negara juga gahku, wahai tanah air tercinta, kecualimu, ku tidak akan memuja sesiapa.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Berita Harian X