Jumaat, 10 March 2017 | 11:29am
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam lori membawa peralatan muzik. - Foto Ihsan Bomba
MANGSA yang maut dalam kemalangan di Kilometer 263.3 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Plaza Tol Seremban. - Foto Ihsan Bomba

Kelindan lori maut nahas

SEREMBAN: Seorang lelaki maut manakala dua rakannya cedera apabila lori dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 263.3 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Plaza Tol Seremban di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 25 tahun berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Badrol Tamam Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.34 pagi dan bergegas ke lokasi bersama satu jentera dan sembilan anggota.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati sebuah lori membawa muatan peralatan muzik melanggar belakang sebuah treler bermuatan kayu di lorong paling kiri lebuh raya arah utara.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk kelindan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua rakan mangsa termasuk pemandu cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pemandu treler berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.

Berita Harian X