Khamis, 9 March 2017 | 7:27pm

Sukan SEA 2017: Shasangari bergelut untuk pulih

ATLIT gimrama negara, N Shasangari (kiri) dan Koi Sie Yan memperagakan pingat yang dimenangi. Malaysia memperolehi dua emas sekaligus apabila masing-masing mempunyai markah sama 60.250 mata acara individu keseluruhan di Komplek Sukan Bishan, Singapura pada tahun 2015. - Foto Rosli Rahmat

KUALA LUMPUR: Biarpun kesuntukan masa untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan, gimnas negara, N Shasangari Sivaneswary, 18, tetap yakin dia masih sempat untuk menyertai sesi pemilihan atlet gimrama berirama ke temasya Sukan SEA 2017.

Pemenang pingat emas acara individu di Sukan SEA 2015 di Singapura itu mengalami kecederaan buku lali ketika berlatih pada Khamis lalu dan terlepas peluang untuk beraksi di kejohanan Aphrodite Cup di Greece, 24 hingga 26 Mac ini.

Namun dia masih mempunyai ruang untuk menunjukkan kemampuan pada sesi pemilihan terakhir atlet gimrama yang dijadual diadakan akhir bulan ini.

Selain Shasangari, enam lagi atlet yang merebut tempat termasuk seorang lagi pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Koi Sie Yan, selain Amy Kwan Dict Wen, Izzah Amzan, Chong Lok Yi, Olivia Tai Qing Tong and Wong Poh San.

"Saya terkilan dan sedih kerana terlepas peluang menyertai kejohanan di Greece kerana mengalami kecederaan buku lali minggu lalu.

"Bagaimanapun, saya rasa ia tidak serius tetapi harap kecederaan ini sempat pulih sepenuhnya dalam masa terdekat kerana saya mahu mempertahankan emas dimenangi di Singapura lalu.

"Saya tahu ia memang mencabar kerana jurulatih akan memilih hanya empat daripada tujuh atlet gimnastik yang bersaing merebut tempat untuk mewakili Malaysia," katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Bagi Shasangari, Malaysia memiliki kelebihan psikologi kerana beraksi di tempat sendiri dan dia menjangkakan saingan utama Malaysia untuk mempertahankan pingat emas acara gimnastik datang dari atlet Singapura dan Thailand.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dijadualkan berlangsung 19 hingga 31 Ogos depan.

Berita Harian X