Rabu, 8 March 2017 | 12:11am

Kembali mendaki gunung untuk hilangkan kesedihan

KLANG: Seorang wanita warga emas kembali meneruskan aktiviti lasak seperti mendaki bukit dan gunung bagi menghilangkan kesedihan selepas kematian suami pada 2011.

Rusmaini Kosnan, 59, berkata beliau hilang semangat selepas pemergian suaminya, Zakaria Arshad, kerana tidak pernah berpisah dengannya.

"Pada 2014, anak bongsu, Nur Balqis Amanina, mengajak panjat Bukit Broga bagi menghilangkan kesedihan. Bermula dari situ, makcik seperti kembali bersemangat untuk meneruskan hobi sewaktu remaja," katanya ketika ditemui BH Plus.

Mengimbas kembali kegemarannya, Rusmaini berkata, beliau mula mendaki ketika bapanya menetap di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur, pada awal tahun 1970-an.

"Ketika itu, kawasan di situ, Bukit Kenny, Padang Merbok hingga ke Jalan Duta semua berbukit dan hutan. Bermula usia enam tahun, makcik ikut arwah bapa, Kosnan Salim, meredah hutan," katanya menceritakan kali pertama mula menyertai aktiviti mendaki.

Rusmaini, ibu kepada empat cahaya mata berusia antara 24 hingga 39 tahun berkata, aktiviti mendaki menjadi program beliau dan rakan-rakan sekolah ketika mereka berada di sekolah menengah.

RUSMAINI mendaki dengan memakai bendera yang sudah dijahit menjadi baju pada Bulan Kemerdekaan.
RUSMAINI mendaki dengan memakai bendera yang sudah dijahit menjadi baju pada Bulan Kemerdekaan.

ANTARA laluan yang digunakan Rusmaini ketika mendaki.
ANTARA laluan yang digunakan Rusmaini ketika mendaki.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti lasak itu terhenti selepas beliau mendirikan rumah tangga dengan arwah suaminya.

Katanya, selepas mendapat anak, aktiviti itu seakan-akan terus dilupakan tetapi minat terhadap mendaki tidak pernah padam.

Bagi Rusmaini, usia bukan penghalang, sebaliknya minat mendaki mendorong beliau melakukan aktiviti yang selalunya dimonopoli golongan muda.

Selain minat, katanya, dorongan ahli keluarga, terutama anak-anak turut mempengaruhinya menjadikan hobi mendaki sebagai rutin.

Rusmaini berkata, selepas mendaki Bukit Broga, beliau meneruskan aktiviti itu dengan mendaki beberapa gunung dan bukit berhampiran dan kali terakhir mendaki pada Disember 2016, di Gunung Kinabalu.

Katanya, beliau lebih bersemangat apabila anak keduanya, Allia Irmiza, 37, menjadi penyuntik semangat dan sering menemaninya mendaki.

"Angah (Allia) selalu menjadi pembakar semangat dan sentiasa bersama saya. Walaupun anak yang lain tidak selalu menemani makcik mendaki, mereka menjadi penyokong utama dan tidak menghalang makcik melakukan apa yang makcik suka," katanya.

Menceritakan pengalaman paling berharga, Rusmaini yang dulu bekerja di sektor swasta, berkata mendaki Gunung Kinabalu bersama anak dan menantu menjadi kenangan terindah.

RUSMAINI (bawah) kembali meneruskan aktiviti lasak bagi menghilangkan kesedihan selepas kematian suami pada 2011.
RUSMAINI (bawah) kembali meneruskan aktiviti lasak bagi menghilangkan kesedihan selepas kematian suami pada 2011.

PENDAKI wanita warga emas, Rusmaini Kosnan. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
PENDAKI wanita warga emas, Rusmaini Kosnan. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Katanya, ketika sampai di puncak, kehadirannya disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh dari pendaki yang tiba lebih awal malah pihak pengurusan Gunung Kinabalu turut membuat pengumuman.

"Makcik rasa terkejut. Bila sampai orang yang sudah sampai lebih awal mula bersorak. Pengurusan turut membuat pengumuman bahawa pendaki paling 'senior' sudah tiba.

"Lebih manis, makcik mengambil peluang menyarungkan pakaian tradisional ketika berada di puncak," katanya.

Beliau berkata, selalunya beliau dan anaknya, Allia, lebih gemar menggunakan konsep pakaian mengikut waktu tertentu ketika sampai ke puncak bukit atau gunung.

Sebagai contoh, ketika bulan Syawal, mereka akan membawa baju raya untuk dipakai di atas puncak sebelum merakamkan detik indah.

"Begitu juga pada Bulan Kemerdekaan. Kami akan memakai bendera yang sudah dijahit menjadi baju dan ketika mendaki Gunung Kinabalu, tarikh itu adalah ulang tahun perkahwinan Allia. Oleh itu, makcik memakai baju tradisional berwarna merah dan Allia serta suami memakai baju pernikahan mereka," katanya.

AKTIVITI Rusmaini (kiri) bersama keluarga di Gunung Kinabalu, Sabah.
AKTIVITI Rusmaini (kiri) bersama keluarga di Gunung Kinabalu, Sabah.

INFO

  • Bermula usia enam tahun, Rusmaini ikut arwah bapa, Kosnan Salim, meredah hutan.
  • Anak tidak menghalang Rusmaini mendaki gunung.
  • Berhasrat mendaki Gunung Rinjani, Indonesia, dalam masa terdekat.
RUSMAINI menunjukkan sijil penghargaan yang diterima ketika mendaki Gunung Kinabalu, Sabah. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
RUSMAINI menunjukkan sijil penghargaan yang diterima ketika mendaki Gunung Kinabalu, Sabah. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
RUSMAINI di Gunung Kinabalu.
RUSMAINI di Gunung Kinabalu.
RUSMAINI (kiri) gemar menggunakan konsep pakaian mengikut waktu tertentu ketika sampai ke puncak bukit atau gunung.

Berita Harian X