Selasa, 7 March 2017 | 10:57pm

Rashid Hussain, Maha Gayabina langgan terbitan khas Priceworth

KUALA LUMPUR: Kumpulan perkayuan bersepadu, Priceworth International Bhd akan melaksanakan penambahan peruntukan saham khas kepada Tan Sri Abdul Rashid Hussain, isterinya dan Maha Gayabina Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, Priceworth berkata ia adalah sebahagian daripada pembelian unit pengurusan perhutanan yang penting di Sabah.

Priceworth bercadang menerbitkan sehingga 215.64 juta saham yang mewakili 30 peratus saham syarikat itu, tidak termasuk saham-saham perbendaharaan.

Ini akan meningkatkan jumlah terkumpul sebanyak RM21.19 juta bagi membiayai sebahagian pembelian Rumpun Capaian Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Anika Desiran Sdn Bhd (ADSB).

ADSB memiliki konsesi seluas 101,161 hektar dikenali FMU5 atau Forest Management Unit 5 (Unit Pengurusan Perhutanan 5) bagi penanaman pokok untuk tujuan perindustrian dan pengurusan hutan semula jadi.

Terbitan khas itu akan ditambah daripada sejumlah 141.25 juta saham yang dicadangkan oleh Priceworth pada Disember 2016, bagi memudahkan penyertaan ekuiti pemegang saham Bumiputera dalam syarikat itu, selain memenuhi keperluan modal kerja bagi pembangunan FMU5.

Di bawah perjanjian langganan yang ditandatangani hari ini, Abdul Rashid akan melanggan sebanyak 46 juta saham manakala isterinya, Puan Sri Emilahani Yang Mohd Yatim akan melanggan 25.88 juta saham pada harga terbitan 10 sen sesaham.

Maha Gayabina pula akan melanggan 143.76 juta saham pada harga terbitan sama.

Sejajar usaha pembelian itu, Priceworth akan turut melaksanakan terbitan dua hak belian berserta saham-saham bonus.

Priceworth juga akan menjual cabang pembuatan papan lapis miliknya di bawah Sinora Sdn Bhd kepada anak syarikat lain, GSR Pte Ltd.

Selain itu, GSR juga berhasrat untuk disenaraikan di Bursa Singapura pada separuh kedua 2017 yang diharap Priceworth dapat mengumpulkan sejumlah RM200 juta. - BERNAMA

Berita Harian X