Isnin, 6 March 2017 | 9:40pm

Teksi dan Uber kerjasama guna aplikasi sama

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan dan Syarikat-syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPST) memulakan kerjasama dengan Uber Malaysia yang menyaksikan penggunaan aplikasi Uber membabitkan teksi gabungan itu secara berperingkat bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Big Blue Taxi Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, memorandum persefahaman bagi kerjasama itu akan ditandatangani esok yang menyaksikan 500 teksi di bawah GPST akan terlibat pada peringkat permulaan.

"Kerjasama itu dilihat satu perubahan positif untuk menyatukan industri teksi dengan Uber Malaysia.

"Operasi Uber Malaysia telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD), cuma kelulusannya akan diumumkan selepas pembentangan di Parlimen," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya kerjasama itu mampu memberi manfaat kepada pemandu teksi berikutan aplikasi teksi sebelum ini tidak mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai disebabkan kekurangan sokongan.

"Ada aplikasi yang telah dibangunkan khas untuk teksi tempatan namun dilihat tidak berfungsi secara menyeluruh kerana ramai yang tidak tahu akan kewujudannya," kata Shamsubahrin.

Pada Oktober 2016, seramai 10,000 pemandu teksi bertindak memulangkan semula kenderaan mereka kepada syarikat pemilik permit berikutan perkhidmatan teksi konvensional menghadapi saingan sengit daripada Uber dan Grabcar.

Shamsubahrin juga mencadangkan supaya sistem e-hailing (e-panggilan) dipantau oleh SPAD secara sepenuhnya kerana dilihat gagal memberikan perkhidmatan baik kepada pelanggan dan pemandu teksi.

"Ia mendukacitakan...sistem ada tetapi tempahan tak ada, tak ada pemasaran, ada syarikat uar-uarkan sistem bagus tapi sistem tak jalan," katanya.

Pada Ogos 2016, SPAD menyarankan semua perkhidmatan teksi menggunakan sistem e-hailing (e-panggilan) seperti Uber dan Grabcar sebagai inisiatif baharu menerusi Program Transformasi Industri Teksi (TITP). - BERNAMA

Berita Harian X