Isnin, 6 March 2017 | 3:38pm

Pemuda UMNO Sepang taja sisipan Didik

NOOR Azli (tengah) bergambar bersama murid SK Batu Laut pada majlis penyerahan tajaan sisipan Didik keluaran BH di Sepang, hari ini. - Foto Samadi Ahmad
NOOR Azli (tengah) bergambar bersama murid SK Batu Laut pada majlis penyerahan tajaan sisipan Didik keluaran BH di Sepang, hari ini. - Foto Samadi Ahmad

SEPANG: Pemuda UMNO Bahagian Sepang hari ini menyerahkan tajaan akhbar sisipan Didik BH kepada 70 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Laut di sini di bawah program khidmat sosial mereka kepada penduduk setempat.

Penyerahan sumbangan disampaikan oleh ketuanya, Noor Azli Mohd Said kepada Guru Besar SK Batu Laut, Mohamad Rosli Azhar, dalam satu majlis ringkas, di sini hari ini.

Noor Azli berkata, sumbangan itu bukan sahaja sekadar memenuhi tanggungjawab sosial pihaknya kerana pada masa sama memastikan pendidikan kanak-kanak luar bandar turut diperkasa dengan pembekalan bahan bantuan pembelajaran yang terbukti berkesan seperti akhbar sisipan Didik keluaran BH.

"Saya harap usaha ini mampu menyemarakkan semangat ingin belajar dan membaca dalam kalangan murid, sekali gus mengupayakan mereka untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Pemuda UMNO yakin pelaburan dalam bidang pendidikan mampu melahirkan modal insan negara yang cemerlang pada masa hadapan," katanya yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau juga berharap sisipan Didik yang akan diedarkan kepada murid setiap Isnin itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membuat latihan dalam pelbagai topik mata pelajaran.

Secara keseluruhan, Pemuda UMNO Sepang akan menaja 82 naskhah Didik setiap minggu untuk kegunaan murid dan guru SK Batu Laut sehingga September ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X