Ahad, 5 March 2017 | 6:28am

'Usah mudarat masa depan anak cucu kita'

Matlamat Pembangunan Lestari atau dalam bahasa Inggerisnya, Sustainable Development Goals (SDG) menjadi agenda global apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkenalkan 17 matlamat yang perlu dicapai oleh semua negara bangsa menjelang 2030. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyahut cabaran ini dengan menyatakan komitmen negara dalam beberapa forum yang beliau hadiri.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) diberikan mandat untuk menyelaras tindakan pelbagai pihak untuk mencapai matlamat ini. Agenda pembangunan lestari bukan perkara baharu, ia telah dilancarkan di peringkat global ketika Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.

Walaupun banyak inisiatif global dilancarkan, penerapan dan sambutan oleh kebanyakan negara, khususnya pada peringkat negeri dan wilayah masih terbatas. Untuk memastikan kejayaan agenda ini, gerakan berasaskan prinsip kesedaran akar umbi atau 'bawah-atas' perlu dilaksanakan. Di pihak negara pula, keberanian politik, pemimpin beriltizam dan keluwesan urus tadbir adalah prasyarat untuk mencapai kejayaan.

Matlamat Pembangunan Lestari diperakui ketika Sidang Kemuncak PBB mengenai Pembangunan Lestari di New York pada 25-27 September 2015. Hasrat penting sidang kemuncak ini ialah untuk menghidupkan kembali agenda lama yang mulai terpinggir dengan memperkenalkan tema baharu 'Transformasi Dunia Kita: Agenda 2030 untuk Pembangunan Lestari.'

Ramai masih keliru, pembangunan lestari bukan hanya agenda alam sekitar, ia adalah juga agenda kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan ekonomi menyeluruh. Ia memberi perhatian kepada falsafah apa yang kita lakukan pada masa ini, tidak memudaratkan keupayaan kehidupan anak cucu kita pada masa depan.

Pentingkan agenda kekayaan

Ini adalah agenda sebahagian besar daripada kita semua. Malangnya, wujud sekumpulan kecil komuniti dunia yang hanya mementingkan agenda meraih kekayaan untuk diri dan keluarga, bersifat rakus terhadap alam sekitar dan tidak menghormati masyarakat terbanyak yang sanggup mencorakkan kehidupan tidak lestari.

Matlamat penting pembangunan lestari yang dipersetujui ialah tiada lagi kemiskinan dan kelaparan; kesihatan dan kesejahteraan; pendidikan berkualiti; kesamarataan gender; air bersih; tenaga bersih; kerja dan pertumbuhan ekonomi; kekentalan industri; mengurangkan ketidaksamarataan; bandar lestari; kepenggunaan bertanggungjawab; pengurangan karbon; kehidupan di daratan dan lautan; urus tadbir adil dan keamanan; dan rakan kongsi mencapai matlamat kelestarian.

Semua ini adalah kehendak masyarakat ramai, malangnya masih sukar dicapai. Kita tidak perlu mengikuti keseluruhan agenda global, sebaliknya memilih matlamat yang masih menghantui negara. Walaupun, dunia umumnya, masih memerlukan 17 matlamat pembangunan lestari seperti tersenarai di atas, negara kita mungkin berjaya mencapai beberapa daripada matlamat ini atau sekurang-kurangnya berusaha gigih untuk menjayakannya.

Tumpu isu kritikal

Malaysia perlu mengenal pasti keutamaan dan memberi tumpuan kepada isu kritikal bakal menjejas pembangunan sosial, alam sekitar dan ekonomi kita.

Majlis Profesor Negara (MPN) sebagai rakan kongsi EPU telah mengorak langkah untuk bersama kerajaan menjayakan agenda penting ini. Pengerusi MPN dan juga pengasas Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDNS), Malaysia, Tan Sri Zakri Abdul Hamid, ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas MPN mengenai Matlamat Pembangunan Lestari menyatakan 'pembangunan lestari bukan soal alam sekitar sahaja, tetapi membabitkan kesejahteraan masyarakat dan pertumbuhan ekonomi; sementara penyelesaiannya bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi perlu membabitkan semua lapisan masyarakat'.

Walaupun Malaysia telah menunjukkan beberapa kemajuan yang memberangsangkan, saya berpendapat kita perlu bermula daripada asas kelestarian. Banyak kepincangan dasar (polisi), strategi pelaksanaan, tadbir urus, sikap dan integriti yang perlu diperkemaskan lagi. Dalam konteks ini, matlamat Pendidikan Berkualiti (SDG-4), khususnya pendidikan kelestarian perlu diberikan perhatian.

Penghayatan dan pembangunan keupayaan mengenai isu kelestarian tidak sahaja perlu didedahkan pada peringkat sekolah dan universiti (formal), tetapi perlu menyeluruh menjangkau sektor kerajaan, swasta dan masyarakat umum (formal dan tidak formal).

Ketika pesat membangunkan prasarana untuk pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat, kita mungkin terlepas pandang mengenai kepentingan Perkhidmatan Alam Sekitar. Akibatnya banyak kawasan sensitif alam sekitar seperti kawasan gunung, bukit, sungai, hutan, tanah bencah dan ekosistem pesisir pantai dimusnahkan.

Kini kita menanggung kesannya, terutama pencemaran udara dan air, pulau haba, kekurangan sumber perikanan, dan bencana alam (tanah runtuh dan banjir). Masanya sudah tiba untuk negara memberikan tumpuan utama kepada matlamat Air Bersih (SDG-6), Hidupan di Lautan (SDG-14) dan Hidupan di Daratan (SGD-15).

Saya syorkan EPU memulakan dengan mengumpulkan data asas yang boleh dikaitkan dengan matlamat pembangunan lestari. Data ini boleh digunakan untuk membentuk beberapa 'indeks kelestarian'. Mengambil contoh peratusan sungai utama yang telah tercemar. Jika peratusannya masih tinggi, ia jelas menunjukkan pembangunan kita masih belum lestari, dan ia juga melambangkan ketamadunan bangsa masih rendah dan cirian negara masih belum maju.

Penulis adalahFelo Penyelidik Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM dan Ketua, Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara (MPN)

Berita Harian X