Jumaat, 3 March 2017 | 7:23pm

Pasangan terpisah kerana undang-undang

IRENE Clennell . - Foto AFP

SINGAPURA: Tempoh perkahwinan selama 27 tahun, dua anak lelaki dan seorang cucu perempuan dengan kerakyatan British tidak dapat menahan Irene Clennell daripada dihantar pulang ke Singapura.

Clennell, 52, rakyat republik itu, dihantar pulang Ahad lalu walaupun mempunyai alasan kukuh perlu menjaga suaminya, John, yang sakit.

Katanya, suaminya seorang warga British, dilanda kemurungan selepas terpaksa berpisah.

"Beliau asyik menangis," katanya ketika ditemui di rumah kakaknya yang sempit di pinggir bandar raya Singapura sementara berusaha untuk pulang semula ke Britain secara sah.

Katanya, John menjalani pembedahan pintasan arteri femoral di kaki tahun lalu dan kini bertarung dengan hernia, menyebabkan beliau sukar berjalan.

"Sebelum ini keadaan berbeza kerana John aktif dan sihat. Beliau boleh menguruskan dirinya sendiri tetapi sekarang beliau tidak mampu melakukan semua itu," kata Clennell sambil menambah beliau adalah satu-satunya penjaga John di kediaman mereka di County Durham.

Clennell kini menumpang di rumah pangsa kakaknya dan berusaha mendapat kebenaran pulang ke Britain secara sah.

Kakak iparnya yang juga seorang warga British, mengupah peguam imigresen dan melancarkan kempen bantuan untuk membiayai kos guaman dan meraih 53,000 pound (RM288,366) setakat ini.

Suami Clennell sangat berharap untuk bersama isterinya dan menulis surat kepada seorang menteri di Perancis bagi bertanya sama ada mereka sekeluarga dibenarkan menetap di negara itu.

Clennell yang tiba di Britain pada 1988, memulakan kerjaya sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di London, sebelum bertemu dengan suaminya, seorang pekerja binaan.

Beliau diizinkan menetap di Britain tanpa tempoh tamat tetapi kehilangan hak itu apabila menetap di Singapura untuk tempoh agak lama bagi menjaga anak yang masih kecil dan kedua ibu bapanya sebelum mereka meninggal dunia. - AFP

Berita Harian X