Jumaat, 3 March 2017 | 5:27pm

PERHILITAN selamatkan 207 haiwan

 KETUA Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Abdul Kadir Abu Hashim (kiri) bersama Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan PERHILITAN, Salman Saaban mengadakan sidang media berkaitan kejayaan Jabatan PERHILITAN dalam beberapa operasi penguatkuasaan di Ibu Pejabat PERHILITAN, Jalan Cheras. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menyelamatkan 207 haiwan pelbagai spesies bernilai hampir RM110,000.

Antara tangkapan termasuk empat spesies terancam iaitu burung murai batu, helang, memerang licin dan buaya.

Spesies lain yang diselamatkan dalam serbuan bulan lalu itu ialah burung tiong mas, ayam hutan, musang dan kura-kura kolam hitam, iaitu spesies yang bukan berasal dari Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Abdul Kadir Abu Hashim, berkata semua haiwan itu diselamatkan dalam lima serbuan berbeza di Pahang dan Selangor antara 20 Februari hingga 28 Februari lalu.

Katanya, spesies paling banyak diselamatkan ialah burung murai batu iaitu 156 ekor, yang turut ditemui bersama tiga ekor burung tiong mas dan enam ekor ayam hutan selepas menangkap seorang lelaki berusia 42 tahun di Kuala Lipis, Pahang.

 PEGAWAI Perhilitan membawa burung murai batu yang berjaya dirampas pada sidang media berkaitan kejayaan Jabatan PERHILITAN dalam beberapa operasi penguatkuasaan di Ibu Pejabat PERHILITAN, Jalan Cheras.- Foto Zulfadhli Zulkifli.

"Dengan tangkapan itu, Jabatan PERHILITAN berjaya mematahkan sindiket penyeludupan burung murai batu yang berpusat di Pahang.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu memburu dan menyimpan haiwan liar dilindungi tanpa lesen, dan Seksyen 60(2) akta sama bagi kesalahan sama membabitkan 20 kepala (haiwan).

"Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 60, boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Kesalahan mengikut Seksyen 60(2) boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya," katanya pada sidang media di ibu pejabat Jabatan PERHILITAN di sini, hari ini.

Berita Harian X