Khamis, 2 March 2017 | 7:24pm

Jerebu dijangka tidak berlaku tahun ini: METMalaysia

PUTRAJAYA: Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan jerebu tidak akan berlaku pada tahun ini seperti tahun sebelumnya berikutan kebanyakan kawasan dalam negara menerima hujan yang biasa atau lebih sejak Disember 2016.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata METMalaysia turut melaporkan tiada sebarang cuaca melampau iaitu panas, kering atau lembap yang luar biasa diramal berlaku pada tahun ini.

Selain itu, katanya, keadaan di Lautan Pasifik juga tidak menunjukkan negara ini akan dilanda fenomena El Nino atau La Nina, tetapi pada Mac dan April biasanya akan mengalami cuaca yang panas berbanding bulan lain kerana kedudukan matahari yang hampir.

"Kemungkinan berlaku sedikit jerebu disebabkan angin Monsun Barat Daya bertiup dari arah negara jiran yang kebiasaannya menjalankan kegiatan kebakaran untuk pertanian.

"Justeru, pembakaran terbuka di dalam negara perlu dikawal bagi mengelakkan terjadinya jerebu yang teruk. Bagi menangani permasalahan ini, kementerian melalui setiap agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha.

"Kita akan aktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Kebakaran Terbuka di seluruh negara mulai 13 April ini, antaranya

mengadakan rondaan terutama di kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar dan mengeluarkan surat arahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara serentak supaya mengawal rapi tapak-tapak pelupusan tidak terbakar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan, di kementeriannya, di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak 1 Januari hingga 27 Februari lalu, sebanyak 203 kes pembakaran terbuka membabitkan hutan dikesan.

"Pembakaran terbuka itu termasuklah di hutan, kawasan pertanian, kawasan industri, tapak pembinaan, tapak

pelupusan sampah, belukar, dan pembakaran terbuka kecil," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X