Khamis, 2 March 2017 | 2:53pm

Bekas pembantu Raja Thailand didakwa salah laku

JUMPOL Manmai ketika tiba di mahkamah di Bangkok, hari ini. - Foto Reuters

BANGKOK: Seorang bekas pegawai polis Thailand yang dipecat kerana salah laku ketika bertugas sebagai pembantu paling kanan Raja Maha Vajiralongkorn, dibawa ke balai polis hari ini untuk berdepan tuduhan membina bangunan di atas tanah awam.

Pemecatan Jumpol Manmai dari istana adalah antara tindakan paling menonjol di bawah Vajiralongkorn, yang tegas menangani beberapa isu sejak mengambil alih takhta Disember lalu susulan kemangkatan bapanya Raja Bhumibol Adulyadej.

Jumpol dipecat kerana salah laku yang disifatkan istana sebagai 'amat jahat'. Dia menyalahgunakan jawatannya untuk kepentingan peribadi dan politik sekali gus mengancam keselamatan negara.

Dia didakwa membina bangunan persendirian di atas tanah hutan yang dilindungi, sekali gus menyalahi undang-undang di wilayah timur laut Nakhon Ratchasima. Empat lagi suspek turut didakwa bersamanya.

Jumpol dan peguamnya tidak membuat sebarang kenyataan kepada media.

Dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi sebarang kesalahan menghina Raja, rakyat Thailand cukup berhati-hati ketika mengulas sebarang isu berkaitan istana.

Undang-undang juga mengehadkan berita yang boleh disiarkan oleh organisasi berita dari Thailand. - Reuters

Berita Harian X