Selasa, 28 Februari 2017 | 6:04pm

BoBoiBoy The Movie tayang di Korea esok

FILEM animasi BoBoiBoy The Movie akan ditayangkan di lebih 100 pawagam di Korea Selatan, mulai esok. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Filem animasi BoBoiBoy The Movie akan ditayangkan di lebih 100 pawagam di Korea Selatan, mulai esok.

Karya terbitan Animonsta Studios Sdn Bhd, atau kini dikenali sebagai Monsta, itu turut menjadi filem tempatan pertama berjaya menembusi pasaran negara terbabit.

Filem animasi arahan Nizam Razak berkenaan akan menemui penonton negara terbabit di pawagam utama seperti Lotte, CGV dan Megabox.

"Kita biasanya mendengar hanya filem atau drama Korea yang dibawa masuk ke negara ini, namun jarang sekali ataupun belum ada filem Malaysia yang berjaya menembusi pasaran Korea Selatan.

"Justeru, perkembangan ini sesuatu yang boleh dibanggakan oleh industri perfileman tempatan, khususnya dalam sektor animasi negara," kata Ketua Penjenamaan dan Pemasarannya, Faiz Zainal Aabidin, menerusi kenyataan yang dikirimkan kepada BH Online, hari ini.

Katanya, kejayaan produk yang dihasilkan sepenuhnya di Malaysia memasuki pawagam negara berkenaan pastinya sesuatu yang membanggakan bagi rakyat Malaysia.

"Korea menjadi negara kelima menayangkan filem BoBoiBoy selepas Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Kutipan kasar untuk tayangan di empat negara terbabit sudah pun mencecah lebih RM19 juta.

"Kami amat yakin dengan kutipan tiket di Korea nanti, ia mampu menjadikan BoBoiBoy: The Movie selaku filem paling laris dalam sejarah perfileman tempatan.

"Ia juga bakal membantu penggiat seni dan karyawan dari Malaysia dan Asia Tenggara untuk menembusi pasaran di sana, selain meluaskan lagi pasaran filem tempatan," katanya yang melantik syarikat Korea Selatan, Boxoo Entertainment, selaku pengedar di negara itu.

Berita Harian X