Isnin, 27 Februari 2017 | 9:19pm

Tourism Pahang-Canon meterai MoU tingkat promosi

PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin (empat dari kiri) bersama Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar (tiga dari kiri) bergambar bersama penaja Larian Pahang Marathon Antarabangsa 2017 sempena Tahun Melawat Pahang 2017 di Pejabat Tourism Pahang. - Foto Asrol Awang

SHAH ALAM: Satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Tourism Pahang dan Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, hari ini sempena Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP17).

MoU dimeterai antara kedua-dua pihak sebagai tanda sokongan Canon Marketing terhadap kempen yang dijalankan oleh Tourism Pahang untuk mempromosikan industri pelancongan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin, berkata MoU ini akan memberi faedah kepada kedua-kedua pihak.

"Tourism Pahang akan menggunakan produk Canon untuk tujuan penggambaraan serta percetakan.

"Tourism Pahang pula akan mempamerkan logo Canon di setiap kempen TMP17 sepanjang tahun ini," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di Menara Canon, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, Andrew Koh dan Ketua Cawangan Canon Kuantan, Kelvin Ooi.

Mohd Sharkar berkata, pihaknya turut menyasarkan kira-kira 15 juta pelancong dari dalam dan luar negara akan berkunjung ke Pahang pada tahun ini.

Sementara itu, Andrew berkata, pihaknya begitu berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada kempen TMP17.

"Kita semua tahu, Pahang adalah sebuah negeri yang amat unik dengan pulau dan pantai yang cantik, kawasan tanah tinggi serta keindahan alam hijau.

"Justeru, keindahan negeri itu boleh dirakam dengan menggunakan kamera resolusi tinggi kami serta boleh terus dicetak dengan pencetak digital Canon," katanya.

Berita Harian X