Isnin, 27 Februari 2017 | 4:49pm

Penganggur dihukum penjara 15 bulan

 S MOHAN dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan dan dua sebatan selepas mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan melesap wang keseluruhan RM5,000 milik pelanggan berurusan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pada tahun lalu di Mahkamah Majistret, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
S MOHAN dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan dan dua sebatan selepas mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan melesap wang keseluruhan RM5,000 milik pelanggan berurusan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pada tahun lalu di Mahkamah Majistret, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dihukum hukuman penjara 15 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan mencuri wang RM5,000 ketika membantu mangsa mengeluarkan wang di mesin ATM, antara Disember tahun hingga awal Januari lalu.

Tertuduh, S Mohan, 47, didakwa mencuri RM2,000 di Bank RHB, Taman Ungku Tun Aminah, di sini, kira-kira 9 pagi, 24 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohan yang berasal dari Pulau Pinang dituduh mencuri RM1,500 di Bank RHB Cawangan Bandar Baru Uda, di sini, kita-kira jam 9 pagi pada 10 Jan lalu, manakala bagi pertuduhan ketiga dia didakwa mencuri RM1,500 di Bank BSN, Bandar Baru Uda, di sini, kira-kira jam 10.52 pagi pada 13 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya atau yang kemudian boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama, manakala hukuman penjara lima bulan dengan satu sebatan bagi pertuduhan kedua dan penjara enam bulan dengan satu sebatan bagi pertuduhan ketiga.

Tertuduh akan menjalani hukuman penjara enam bulan dan dua sebatan berikutan kesemua hukuman berkenaan berjalan serentak mulai tarikh disabit kesalahan mulai hari ini.

Dalam rayuannya, tertuduh yang berkali-kali memohon maaf turut meminta mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan isterinya sedang dirawat di hospital.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X