Ahad, 26 Februari 2017 | 9:38am

Vardy nafi terbabit komplot guling Ranieri


PENYERANG Leicester City, Jamie Vardy. - Foto REUTERS

LEICESTER: Penyerang Leicester City, Jamie Vardy menafikan menjadi antara dalang yang terbabit dalam menggulingkan Claudio Ranieri sembilan bulan selepas pengurus dari Itali itu mengetuai pasukannya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas mengemudi The Foxes melakar kisah dongeng pada musim lalu, Ranieri dipecat Khamis lalu ketika skuad juara bertahan itu bergelut di zon penyingkiran.

Mereka kini menduduki tangga ke-18 carta, dua mata di depan pasukan tangga terbawah Sunderland.

"Wujud spekulasi mengatakan saya terbabit dalam isu ini dan ia sama sekali tidak benar, tidak berasas dan amat menyakitkan!" tulis Vardy semalam dalam Instagram miliknya bersama gambar Ranieri.

"Satu-satunya kesalahan kami sebagai pasukan adalah kerana prestasi hambar ketika ini yang mana kami secara terbuka akur dengannya dan akan cuba sedaya upaya memperbaikinya," tambahnya.

Vardy mencetak 24 jaringan liga pada musim lalu untuk menerajui kejayaan luar biasa itu selepas memulakan kempen sebagai pasukan bukan pilihan.

"Saya sentiasa dan akan kekal menghormati Claudio. Apa yang kami capai sebagai pasukan adalah sesuatu yang mustahil. Dia begitu percayakan saya ketika tiada siapapun yang percaya dan atas sebab itu saya terhutang budi dengannya," kata Vardy.

"Saya mendoakan yang terbaik buat Claudio. Terima kasih Claudio untuk segala-galanya."

Status Instagram Vardy itu hadir selepas penjaga gol Kasper Schmeichel turut menafikan dakwaan itu ketika Ranieri mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Leicester, pagi semalam.

Leicester dimiliki oleh usahawan Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha yang juga pengerusi kelab itu.

"Apa yang saya dapat katakan pemilik kami sentiasa ada di sini. Mereka berada di padang dan seluruh kelab ini. Mereka datang menyaksikan setiap perlawanan dan bercakap dengan pemain," kata Schmeichel. - Reuters

Berita Harian X