Ahad, 26 Februari 2017 | 12:00am

Pasar buku terpakai, e-buku jadi penanda aras pembacaan di Malaysia

KEMUNCULAN konsep pasar buku, termasuk buku terpakai jadi tanda aras budaya membaca di negara ini. - Foto fail NSTP/Danial Saad
KEMUNCULAN konsep pasar buku, termasuk buku terpakai jadi tanda aras budaya membaca di negara ini. - Foto fail NSTP/Danial Saad

JIKA penanda aras mengenai budaya membaca buku di Amerika Syarikat (AS) boleh diukur dengan jumlah pertumbuhan kafe kecil di gedung buku besarnya, bagaimana pula dengan 'suhu' membaca di negara ini?

Apakah ia mencukupi dengan menilai budaya membaca masyarakat di negara ini berdasarkan kunjungan ke pesta buku yang bertambah saban tahun atau lebih penting daripada itu, melihat bagaimana buku itu sendiri diberikan makna dan diangkat oleh masyarakat?

Pengendali Goodreads Malaysia (GRMY), Najibah Abu Bakar, berkata menurut Online Dictionary of Library and Information Science (ODLIS), penanda aras budaya membaca di AS juga boleh dilihat daripada kejayaan syarikat pembuat dan penjual hadiah, perhiasan serta pelbagai aksesori berkaitan buku.

Kemunculan kelab peminat buku di media sosial

Beliau berkata, perkembangan sama turut menular di negara ini dengan kemunculan banyak kedai dan penjual buku terpakai, misalnya kumpulan penggemar buku di media sosial Facebook, Kolektor Buku-Buku Se-Malaysia yang disertai lebih 15,000 ahli dari kalangan penjual dan pembeli buku.

"Ini senario menarik, apatah lagi mereka memasarkan buku sendiri di Pasar Buku Bangi (PABUBA) yang saya kira menjadi penanda aras kepada perkembangan budaya buku dan membaca di negara ini," katanya kepada Sastera & Budaya di sini, semalam.

Meskipun begitu, katanya, budaya buku di negara ini sebenarnya masih belum kuat apabila dikaitkan peranannya sebagai budaya ilmu yang akan menyebabkan masyarakat berasa tidak kena jika membuat sesuatu keputusan tanpa mengkaji ilmu berkaitan dengan mendalam.

"Apabila buku menjadi sebahagian budaya, ia akan menyebabkan masyarakat sentiasa menggali ilmu bukan sahaja ketika mahu memberi pendapat, bahkan sebelum bermesyuarat, mendidik anak dan melabur," katanya.

Untuk membudayakan tabiat membaca, kata Najibah, penting untuk memastikan terdapat lebih 100 buku untuk kanak-kanak di rumah kerana terdapat kajian akademik yang mengatakan ia akan membantu kanak-kanak menjadi pembaca buku sepanjang usia mereka.

Pupuk minat mebaca anak

"Bawa anak ke perpustakaan. Di sekolah rendah swasta antarabangsa, kerap ada sesi melawat perpustakaan awam yang diaturkan sekolah supaya mereka tahu perasaan berada di antara buku itu sebenarnya perasaan yang hebat.

"Mungkin anak tidak 100 peratus menjadi pembaca tegar, sekurang-kurangnya mereka tidak akan menjadi seorang yang anti-buku atau memandang rendah kepada buku," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PTS Media Group Sdn Bhd, Arief Hakim Sani Rahman, berkata jualan buku fizikal yang meningkat sangat tinggi berbanding sedekad lalu, adalah antara tanda pasaran yang menunjukkan kadar pembacaan rakyat Malaysia semakin tinggi, selain ditandakan dengan jumlah kedai buku yang semakin banyak, terutama di bandar sekunder.

"Penggunaan aplikasi tertentu untuk buku seperti Wattpad juga semakin tinggi dalam kalangan pelajar, malah ada aktivis buku yang meramalkan pelajar akan lebih banyak membaca novel di Wattpad berbanding buku di perpustakaan sekolah.

"Beberapa minggu lalu, laman pinjaman buku elektronik (e-buku) di sebuah perpustakaan 'runtuh' kerana diserbu pembaca akibat mesej tular dalam aplikasi WhatsApp.

"Ini fenomena luar biasa yang tidak pernah kita terfikir sebelum ini untuk menyaksikan pembaca 'menyerbu' perpustakaan sampai roboh," katanya.

Perubahan format bacaan

Arief Hakim Sani berkata, tiga tahun kebelakangan ini juga memperlihatkan perubahan jelas dari segi kandungan apabila beberapa subjek berpindah daripada format majalah kepada web, terutama subjek politik, hiburan, teknologi dan sukan.

Katanya, terdapat subjek yang berpindah dari format teks kepada video yang paling jelas ialah subjek resipi dan produk pasang sendiri (DIY).

"Penggunaan kandungan semakin tinggi meskipun terdapat perubahan dalam format dan medium tetapi selaras dengan perkembangan teknologi dan gaya hidup masyarakat Malaysia hari ini," katanya.

Berita Harian X