Sabtu, 25 Februari 2017 | 10:53am

Ranieri akui impiannya 'dibunuh' Leicester


CLAUDIO Ranieri mengakui mengimpikan kekal di Leicester City 'selama-lamanya' sebelum dipecat dengan kejam selaku pengurus juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu. - Foto Daily Mail

LONDON: Claudio Ranieri mengakui mengimpikan kekal di Leicester City 'selama-lamanya' sebelum dipecat dengan kejam selaku pengurus juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Ranieri disingkirkan pemilik Leicester dari Thailand kelmarin, kurang setahun selepas mengemudi The Foxes melakar kisah dongeng menjuarai saingan liga musim lalu.

Leicester ketika ini hanya satu mata di atas zon penyingkiran dengan berbaki 13 aksi.

Prestasi hambar pasukan itu dikaitkan berpunca daripada pemain yang menganggap percaturan Ranieri sudah terlalu lapuk.

Walaupun menerima banyak tanda sokongan sejak dipecat, pengendali dari Itali itu mengakui keputusan terbabit adalah tamparan kejam buatnya.

"Semalam (kelmarin) impian saya berkubur," kata Ranieri.

"Selepas keghairahan dan kejayaan menjulang gelaran EPL musim lalu, impian saya hanya untuk kekal bersama Leicester City, kelab yang saya cintai selama-lamanya. Malangnya, ia tidak berlaku."

Ranieri turut berterima kasih kepada isterinya Rosanna, keluarganya dan ejennya Steve Kutner serta Franco Granello, yang memberinya satu peluang menjadi juara.

Bekas bos Chelsea dan Greece itu turut memberi penghargaan kepada kakitangannya, Paolo Benetti dan Andrea Azzalin, yang memilih untuk pergi bersama dengannya.

Menariknya, dia langsung tidak menyebut nama Craig Shakespeare, penolong pengurus yang didakwa berselisih faham dengannya sejak kebelakangan ini.

Ranieri yang tiba di Stadium King Power pada 2015, kekal sebagai individu paling penting dalam sejarah Leicester dan turut memberi penghormatan kepada semua orang yang menemaninya sepanjang musim lalu. - AFP

Berita Harian X