Jumaat, 24 Februari 2017 | 6:53pm

Lelaki ditahan miliki 4 ekor helang

Abd Rahim Othman (dua dari kanan) bersama pegawai menunjukkan anak buaya tembaga dan beberapa ekor burung helang yang dirampas daripada pemilik pada Sidang Media di pejabat PERHILITAN Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid
Abd Rahim Othman (dua dari kanan) bersama pegawai menunjukkan anak buaya tembaga dan beberapa ekor burung helang yang dirampas daripada pemilik pada Sidang Media di pejabat PERHILITAN Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid

SHAH ALAM: Empat ekor burung helang dirampas daripada seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah Bandar Saujana Putra, Banting, semalam. 

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, Abd Rahim Othman, berkata dalam operasi pada jam 7 malam itu, seekor helang dewasa dan remaja serta dua ekor anak helang ditemui dikurung dalam tiga sangkar. 

"Kita percaya helang ini dibela dengan tujuan dijual bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda. Harga seekor anak helang boleh mencecah sehingga RM3,000, manakala seekor helang dewasa boleh mencecah sehingga RM8,000. 

"Jadi, lelaki ini mampu memperoleh kira-kira RM20,000 jika semua helang ini dijual. Ketika serbuan dibuat, lelaki ini tiada di rumah, yang ada hanya ahli keluarganya sahaja. Namun, pihak kami sudah meminta lelaki ini tampil membantu siasatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Abd Rahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan dilindungi tanpa lesen, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memiliki hidupan liar secara haram Jika mereka tahu kegiatan seperti ini dilakukan, saya minta segera laporkan kepada PERHILITAN," katanya.

Berita Harian X