Jumaat, 24 Februari 2017 | 8:00am

Jangkitan Sistem Urinari

ADVERTORIAL

SISTEM urinari merupakan sistem organ dalam tubuh badan yang berfungsi untuk menapis darah daripada bahan toksik dan menghasilkan bahan kumuh, iaitu air kencing. Sistem ini terdiri dari sepasang buah pinggang, sepasang salur ureter, pundi kencing dan salur urethra. Jangkitan boleh berlaku dalam mana-mana organ ini.

Jangkitan berlaku apabila bakteria memasuki sistem ini. Jangkitan lebih kerap berlaku di kalangan kaum wanita, disebabkan salur uretra yang lebih pendek dalam golongan ini. Jangkitan boleh merebak dari dubur atau pembukaan faraj ke pembukaan salur kencing.

Wanita yang sudah mengalami 'menopause', iaitu wanita yang sudah berhenti mengalami kitaran haid lebih kerap mendapat jangkitan ini, disebabkan hormon estrogen sudah tidak dihasilkan oleh badan. Ini menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif dan bakteria dapat menembusi kulit, dan organ pundi kencing juga mengalami atrofi, iaitu organ menjadi tidak efektif dan membenarkan bakteria memasuki tubuh badan.

Orang yang mempunyai sistem urinari yang tidak normal juga lebih kerap mengalami infeksi. Kanak-kanak yang kerap mendapat jangkitan air kencing mungkin mempunyai sistem urinari yang tidak normal.

Contohnya, kanak - kanak mungkin menghadapi masalah 'posterior urethralvalve', di mana aliran air kencing tersekat dari mengalir keluar dari pundi kencing. Masalah seperti ini hanya dapat dirawat dengan pembedahan, untuk membetulkan bahagian yang tidak normal.

Masalah batu karang atau prostat yang besar juga akan menyebabkan masalah infeksi sistem urinari disebabkan pesakit terhalang dari membuang semua air kencing dengan sempurna. Prostat ialah organ dalam tubuh badan lelaki yang berfungsi untuk menghasilkan sebahagian daripada air mani. Apabila usia lelaki meningkat, organ prostat mungkin membesar. Apabila saluran kencing terhempap oleh batu karang ataupun organ prostat yang membesar, air kencing akan tersekat.

Air kencing yang tersekat akan bertakung dan menjadi media untuk bakteria berganda dan membolehkan infeksi bermula. Pesakit yang menghidapi masalah kesihatan seperti diabetes atau keadaan yang mana kesihatan imun mereka tergendala seperti penghidap penyakit HIV, akan lebih terdorong untuk menghidapi masalah infeksi sistem urinari, serta infeksi di bahagian dan sistem organ lain.

Apabila seseorang mengalami masalah sukar buang air kencing, ataupun mereka perlu mengalami pembedahan, salur akan dimasukkan ke dalam pundi kencing yang dipanggil 'catheter' untuk membolehkan air kencing menyalur keluar. Prosedur ini dilakukan di hospital oleh kakitangan terlatih. Kehadiran salur ini menaikkan risiko pesakit menghidapi infeksi, kerana terdapat alat dari luar yang dimasukkan ke dalam badan. Risiko ini bertambah apabila salur ini berada dalam tubuh badan untuk masa yang lama.

Oleh itu, doktor perlu memastikan salur ini ditukar dengan kerap dan kebersihan salur ini dijaga. Salur ini juga perlu dimasukkan ke dalam badan dengan amat berwaspada, untuk memastikan kaedah steril diikuti. Terdapat juga bukti bahawa keadaan dahaga dan dehidrasi akan menyebabkan masalah infeksi sistem urinari berlaku.

Di Malaysia, orang ramai cenderung untuk minum minuman manis seperti teh, kopi, jus dan air sirap, dan menganggap bahawa minuman ini cukup untuk mengelakkan masalah jangkitan sistem urinari dan masalah batu karang. Sebenarnya, minuman seperti alkohol, jus sitrus seperti jus oren dan limau, dan minuman yang mengandungi kafein semuanya memedihkan lapisan dalam pundi kencing dan menyebabkan masalah infeksi pundi kencing berlaku.

Oleh itu, memang disyorkan untuk minum air kosong dengan secukupnya untuk mengelakkan masalah jangkitan sistem urinari. Orang yang tidak menjaga kebersihan bahagian sulit dan dubur juga cenderung untuk mendapat masalah sistem urinari. Disebabkan bakteria yang menyebabkan kebanyakan jangkitan sistem urinari ialah bakteria E. coli yang hidup dalam usus besar, orang yang tidak mencuci bahagian sulit dan dubur selepas membuang air, senang untuk mendapat jangkitan sistem urinari.

Simptom

SAMPEL air kencing yang tidak normal, di mana air kencing tidak jernih
SAMPEL air kencing yang tidak normal, di mana air kencing tidak jernih

Dalam infeksi sistem urinari, gejala yang mungkin dihidapi termasuk rasa perlu buang air kecil dengan segera, kepedihan semasa membuang air kecil, membuang air kecil dengan kerap dan buang air kecil sedikit demi sedikit, air kecil yang kelihatan kotor; iaitu tidak jernih atau berwarna coklat. Air kencing mungkin berbau kuat, dan pesakit mungkin rasa sakit di bahagian kemaluan atau bahagian pelvis semasa membuang air kecil.

Sampel air kencing yang tidak normal, di mana air kencing tidak jernih. Masalah 'cystitis' ialah jangkitan pundi kencing. Ini merupakan masalah yang biasa berlaku, terutamanya di golongan wanita. Infeksi ringan tidak memerlukan rawatan dan akan pulih selepas beberapa hari dengan sendirinya, tetapi jika pesakit kerap mendapat masalah ini, atau infeksi berpindah ke buah pinggang, pesakit akan memerlukan rawatan.

Apabila buah pinggang terlibat dalam jangkitan, gejala yang dihidapi adalah lebih serius dan ini termasuk sakit pinggang, darah dalam air kencing, demam, muntah, rasa sejuk dan menggigil. Pesakit mungkin juga akan berasa letih, cepat marah, susah hati dan kurang selera makan.

Komplikasi

Infeksi salur urinari mungkin menjadi masalah besar, terutamanya jika organ buah pinggang terlibat. Infeksi salur urinari boleh mengakibatkan masalah batu karang, dan buah pinggang mungkin mengalami kerosakan.

Salur urethra juga mungkin mengalami penyempitan selepas infeksi, disebabkan ketumbuhan tisu selepas infeksi. Jika infeksi amat serius, jangkitan darah mungkin berlaku. Dalam golongan wanita hamil pula, infeksi sistem urinari mungkin akan membawa padah kepada anak seperti bayi rendah berat badan dan bayi lahir tidak cukup bulan.

Ujian dan Rawatan

Apabila seseorang disyaki menghidapi jangkitan sistem urinari, doktor akan melakukan ujian ke atas sampel air kencing untuk mengesan kehadiran kuman dan darah dalam air kencing.

Jika laporan didapati positif:

  • Maka ujian seterusnya dipanggil úrine culture and sensitivity'bertujuan untuk mengetahui jenis kuman yang menyebabkan infeksi tersebut, dan juga ubat yang dapat merawat keadaan tersebut.
  • Rawatan akan dimulakan, iaitu dengan menggunakan ubat antibiotik. Ubat yang digunakan adalah berdasarkan kuman yang terlibat, dan juga tahap keseriusan jangkitan tersebut.

Jika jangkitan sistem urinari amat serius, maka pesakit mungkin dikehendaki mendapat rawatan di hospital, kerana ubat perlu diberikan terus ke dalam salur darah, dan pesakit tersebut perlu dikawal dan diperhatikan oleh doktor, mengikut Dato' Dr. Sahabudin bin Raja Mohamed, Pakar Perunding Kanan Urologi di Prince Court Medical Centre di Kuala Lumpur.

Mengikut Dato' Sahabudin lagi, penyakit lain yang mirip simptom-simptom masalah infeksi sistem urinari ialah penyakit 'overactive bladder' iaitu pundi kencing yang terlalu aktif. Masalah ini menyebabkan pesakit mengalami masalah perlu membuang air kecil dengan kerap dan segera, dan pesakit tidak dapat mengawal air kencing. Masalah ini tidak dapat diubati dengan ubat antibiotik.

Pencegahan

Terdapat beberapa cara untuk mengelakkan jangkitan sistem urinari.

  • Minum air dengan secukupnya, walaupun tidak dahaga. Air kencing seharusnya jernih tanpa apa-apa warna, bau ataupun serpihan.
  • ‹

  • Doktor mungkin akan memberi minuman yang dipanggil 'Ural', dan ini merupakan bahan yang dapat meneutralkan air kencing yang berasid.
  • ‹

  • Menjaga kebersihan semasa buang air kecil, mahupun buang air besar. Apabila mencuci alat sulit atau mengelap bahagian tersebut, orang ramai patut membersihkan dari depan ke belakang.
  • ‹

  • Mandi dengan cara 'shower' adalah lebih baik berbanding dengan menggunakan tab mandi, disebabkan air kotor tidak dapat memasuki salur kencing.
  • ‹

  • Digalakkan untuk membuang air kecil setiap 4 jam, walaupun tidak tergesa-gesa untuk berbuat sedemikian.

Mengikut Dato' Sahabudin lagi, dalam organ-organ sistem urinari terdapat satu lapisan yang dipanggil 'urothelium' yang melindungi organ-organ tersebut daripada tembusan agen toksik, air kencing dan bakteria. Pada permukaan lapisan ini terdapat lagi satu lapisan yang dipanggil lapisan glycosaminoglycan (GAG). Lapisan GAG ini terdiri daripada lapisan mukus tebal.

Apabila lapisan GAG ini rosak, ia tidak lagi dapat memberi perlindungan dan bahan toksik dapat menembusi lapisan ini dan menyebabkan keradangan dan rasa sakit. Antara faktor yang menyebabkan kerosakan lapisan ini ialah pengambilan ubat antibiotik. Hanya apabila lapisan ini kembali pulih, pesakit akan berhenti rasa sakit. Ini merupakan contoh bahaya yang dihidapi apabila ubat antibiotik diberikan kepada pesakit apabila ia tidak diperlukan.

Kesimpulannya, masalah infeksi sistem urinari memang masalah yang biasa berlaku, dan ianya boleh membawa padah. Jika seseorang itu menghidapi masalah jangkitan sistem urinari, masalah ini dapat diubati dengan senang.

Orang ramai tidak perlu berasa risau untuk mengunjungi doktor untuk mengubati masalah ini, tetapi orang ramai memang perlu mengambil beberapa langkah untuk menjaga kesihatan sistem tubuh badan yang amat penting ini, yang berfungsi sebagai kilang pengeluaran bahan toksik daripada badan.

Untuk maklumat lanjut layari:

Website: http://bit.ly/2l3O5j9

Facebook: www.facebook.com/princecourtmc

Twitter: http://bit.ly/2lzwCkB

Pakar Urologi & Pembedahan Robotik, Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur

Berita Harian X