Khamis, 23 Februari 2017 | 9:54am

Lallana bersama Liverpool hingga 2021

ADAM Lallana. - Foto AFP
ADAM Lallana. - Foto AFP

LIVERPOOL: Adam Lallana menandatangani kontrak baharu selama empat tahun di Liverpool dengan bayaran gaji 150,00 pound (RM829,952) seminggu.

Ikatan itu akan memastikan pemain tengah menyerang berusia 28 tahun ini akan kekal di Anfield sehingga 2021, mengikuti jejak bintang dari Brazil, Philippe Coutinho yang menandatangani kontrak lima tahun, bulan lalu.

Lallana berkata kepada laman rasmi kelab; "Saya bangga dan berasa rendah diri dengan keikhlasan yang ditunjukkan kelab dan pengurus dalam perkara ini.

"Cukup jelas... menandatangani (kontrak) dengan kelab seperti Liverpool adalah satu perkara besar - tetapi menandatangani lanjutan kontrak membuktikan kamu sudah menyumbangkan sesuatu yang cukup untuk membuatkan pembuat keputusan mahukan kamu kekal lebih lama.

"Ini adalah tempat yang bagus pada ketika ini dan bagi pemain yang mahu menjadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa, saya tidak fikirkan soal komitmen masa depan dengan kelab lain.

"Kami ada skuad yang baik, yang sentiasa akan menjadi lebih baik jika kami bersama-sama untuk tempoh lama. Kami ada pengurus dan kakitangan kejurulatihan bertaraf dunia.

"Liverpool juga memiliki faktor X - iaitu penyokongnya. Pencapaian dan kejayaan kami cukup besar ertinya kepada mereka. Saya berbesar hati dan berterus terang, saya mahu menjadi sebahagian daripada detik ini untuk tempoh yang lama," katanya.

Lallana berjaya mendapat tempat di dalam perancangan skuad Jurgen Klopp, menjaringkan tujuh gol dalam 27 penampilan untuk Liverpool untuk musim ini dan secara keseluruhannya menjaringkan 20 gol dalam 117 perlawanan. Agensi

Berita Harian X