Rabu, 24 Disember 2014 | 7:15pm

Wanita, remaja antara 10 ulat tiket ditahan SPAD

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara 10 ulat tiket yang ditahan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menerusi Ops Parasit yang bermula semalam dan kelmarin.

Operasi dijalankan di Hentian Puduraya dengan dua fasa, sesi pagi dari jam 10 pagi hingga 5 petang manakala sesi kedua pada jam 8.30 malam hingga jam 1 pagi.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata dalam kedua-dua operasi itu SPAD berjaya menahan 10 individu termasuk seorang wanita dan seorang remaja lepasan SPM.

"Semua yang ditahan akan dakwa di bawah Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh di denda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui selepas majlis pemberian risalah keselamatan kepada penumpang bas ekspres di sini, hari ini.

Che Hasni juga turut menasihatkan semua pengguna bas agar membeli tiket melalui kaunter jualan tiket dan bukan melalui ulat tiket.

Sebanyak 31 kes ulat tiket direkodkan tahun ini berbanding 51 kes tahun lalu.

Berita Harian X