Selasa, 21 Februari 2017 | 2:56pm

Karnival Muafakat Bukit Kepong 24-25 Februari ini


PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

MUAR: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang dengan kerjasama Majlis Pembangunan Pelancongan Parlimen Pagoh akan menganjurkan Karnival Muafakat Bukit Kepong bermula pada Jumaat dan Sabtu ini di Galeri Darurat Bukit Kepong, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed, berkata karnival tahunan itu akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berkenaan berlangsung.

"Antara program menarik yang disediakan pada karnival itu ialah ruang pameran daripada pelbagai agensi kerajaan, pertandingan nasyid, karaoke, kem kesihatan dan cabutan bertuah kepada pengunjung karnival.

"Selain itu, kita turut mengadakan persembahan daripada beberapa artis terkenal seperti Ejam Medicine, Siti Saerah, Da'i Lokman dan Ghazal Band," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, pada karnival ini juga, beberapa acara sampingan kepada pengunjung seisi keluarga akan diadakan.

"Ia termasuk pertandingan memancing, mewarna bagi kanak-kanak dan memasak bagi golongan wanita bagi memeriahkan lagi sambutan kali ini. Program melepaskan benih ikan baung dan udang galah ke sungai Muar juga diadakan bagi mengalakkan hidupan akuatik berkenaan.

"Pada karnival itu juga, kita akan menyampaikan sumbangan bantuan pendaftaran universiti kepada 45 penerima dan juga penyampaian sumbangan kebajikan kepada 30 penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan," katanya.

Beliau yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh berkata, pihaknya mempelawa semua masyarakat di Muar khususnya di kawasan Pagoh untuk turut bersama memeriahkan karnival berkenaan.

Berita Harian X