Selasa, 21 Februari 2017 | 1:52pm

Jong-nam hidup dalam ketakutan, paranoia

LONDON: Abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, menghabiskan tahun-tahun terakhir hayatnya dengan hidup dalam ketakutan dan paranoia, bersembunyi daripada rejim adiknya, Kim Jong-un.

Dalam temubual eksklusif dengan akhbar Guadian, seorang rakan rapat Jong-nam, yang pernah disebut sebagai pewaris dinasti Korea Utara, bercerita mengenai pandangan terbuka dan personaliti yang membawa kepada keputusan beliau hidup dalam buangan, dan mungkin juga kematiannya.

Rakan lama Jong-nam, Anthony Sahakian, berkata lelaki itu yang dikenali sebagai 'Lee' olehnya, hidup dengan mengetahui Jong-un, melihat beliau sebagai ancaman kepada pemerintahan kuku besi yang dilaksanakan selepas kematian bapa mereka, Kim Jong-il, pada 2011.

"Kami pernah berbincang mengenai rejim adiknya, mengenai apa yang berlaku di Korea Utara. Satu perkara yang saya boleh katakan, beliau tidak berminat dengan kuasa.

"Beliau mahu keluar. Lee tidak bercita-cita memerintah negara itu. Beliau tidak menerima atau menghargai apa yang terjadi di sana," kata Sahakian, 44.

Sahakian berkata, Jong-nam memang takut dan paranoia.

"Beliau bimbang. Sudah tentu beliau bimbang," katanya.

Tidak dapat dipastikan mengapa Jong-nam, pewaris pertama, disingkirkan.

Ibu saudara sebelah ibunya pernah menerbitkan memoir menyatakan Kim Jong-il amat menyayangi anak lelaki sulungnya itu, menggelar Kim sebagai 'baby'.

Namun datuk Kim, Kim Il-Sung, yang juga pengasas Korea Utara moden tidak merestui hubungan luar nikah antara Kim Jong-il dengan ibunya, seorang pelakon filem tempatan. - AGENSI

Berita Harian X