Selasa, 21 Februari 2017 | 9:31am

Wanita 63 tahun lahirkan anak menerusi Caesarean

Seorang wanita berusia 63 tahun selamat melahirkan bayi perempuan menerusi pembedahan Caesarean semalam. - Foto gulfnews.com
Seorang wanita berusia 63 tahun selamat melahirkan bayi perempuan menerusi pembedahan Caesarean semalam. - Foto gulfnews.com

DUBAI: Seorang wanita berusia 63 tahun selamat melahirkan bayi perempuan menerusi pembedahan Caesarean semalam, dalam apa yang disifatkan kes pertama seumpama itu di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bayi yang dilahirkan 7.30 pagi waktu tempatan kelmarin, seberat 2.25 kilogram dan kedua-dua ibu dan anak dilaporkan sihat.

Pakar Sakit Puan di Hospital Thumbay, Dr Jaguad Nirmala berkata, ini adalah kali pertama beliau merawat pesakit berusia lebih 60 tahun.

"Pesakit membuat rujukan di hospital ketika usia kandungan mencecah 32 minggu selepas menjalani kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) di India.

"Namun saya amat yakin dapat mengendalikan cabaran itu kerana kedua-dua ibu dan anak kelihatan sihat selepas pemeriksaan awal," katanya.

Ibu bapa bayi itu, ibu yang berasal dari Sri Lanka dan bapanya berusia 61 tahun dari Chennai, India, enggan mendedahkan nama atau maklumat lanjut mengenai mereka.

Bagaimanapun, wanita berkenaan berkata mereka amat gembira dengan kelahiran bayi perempuan itu.

Dr Nirmala berkata, ia adalah kehamilan yang amat berharga kepada pasangan itu kerana wanita berkenaan mengalami banyak masalah kesihatan seperti diabetes, tekanan darah tinggi ketika hamil dan uri melindungi leher janin yang menyukarkan proses bersalin normal. - Gulf News

Berita Harian X