Isnin, 20 Februari 2017 | 12:25pm
ALONG beraksi pada konsert pemilihan protege Mentor Milenia di Shah Alam, malam tadi. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
ALONG beraksi pada konsert pemilihan protege Mentor Milenia di Shah Alam, malam tadi. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Tomok tak senang duduk lihat protege beraksi

BLACK dan Tomok bergambar bersama protege mereka, Along (kanan), Qalisya (dua kanan), Nuzul (kiri) dan Syeera (dua kiri) pada konsert pemilihan protege Mentor Milenia di Shah Alam, malam tadi. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
BLACK dan Tomok bergambar bersama protege mereka, Along (kanan), Qalisya (dua kanan), Nuzul (kiri) dan Syeera (dua kiri) pada konsert pemilihan protege Mentor Milenia di Shah Alam, malam tadi. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Penyanyi, Tomok, mengaku beliau tidak senang duduk setiap kali anak didiknya muncul mengadakan persembahan pada konsert pemilihan protege Mentor Milenia di sini, malam tadi.

Beliau yang julung kali menggalas tugas sebagai mentor berkata, perasaannya bercampur baur apabila Along, Qalisya dan Adam Malek muncul di pentas menyanyikan lagi pilihan masing-masing pada konsert terbabit.

"Saya anggap diri saya sebagai bapa yang menonton anak sendiri mengadakan persembahan selepas menerima tunjuk ajar. Saya turut memberikan mereka semangat dan mahu masing-masing menonjolkan persembahan terbaik kerana saya tahu, ketiga-tiganya bakat yang bagus," katanya kepada BH Online.

Tomok yang pernah gemilang bersama kumpulan New Boyz menerusi lagu Sejarah Mungkin Berulang, dilihat berdiri di belakang kerusi mentor sambil memberikan sokongan dan sorakan kepada setiap anak didiknya yang beraksi.

Beliau berkata, sebagai orang baharu dalam rancangan itu, menggantikan tempat Azlan Typewriter, beliau teruja menjadi sebahagian daripada program terbabit dan mahu memastikan dirinya memberikan saingan sengit kepada mentor lain iaitu Hazama, Akim dan Black.

Tomok yang kelihatan sukar membuat pilihan akhirnya memilih Qalisya dan Along sebagai protege untuk mewakili dirinya dalam persaingan Mentor Milenia musim terbaru.

Sementara itu, Along yang juga anak saudara penyanyi, Ezad Lazim, yakin beliau dipilih kerana bakat yang dimiliki dan berjanji untuk membuatkan Tomok berbangga dengan dirinya.

"Saya yakin pemilihan ini kerana bakat saya. Ezad juga banyak memberikan sokongan kepada saya," katanya.

Black yang turut membuat pilihan protege pada konsert malam tadi pula berkata, tahun ini sekali lagi dirinya berdepan kesukaran kerana semua anak didiknya memberikan persembahan memberangsangkan.

Beliau berkata, persembahan Syeera, Nuzul dan Afiff nyata seimbang, menyebabkannya sukar membuat pilihan meskipun pada awalnya sudah ada protege yang menunjukkan potensi.

"Saya juga memilih untuk tidak rapat dengan mana-mana bakal protege kerana tidak mahu bersikap berat sebelah.

"Saya memilih Nuzul dan Syeera kerana mengikut kata hati, selain hasil perbincangan dengan pasukan saya," katanya yang yakin dengan keputusan dibuat.

Mulai minggu depan, lapan protege daripada empat mentor terbabit akan bersaing pada konsert mingguan dan hanya tiga daripada mereka akan melangkah ke peringkat akhir.

Berita Harian X