Sabtu, 18 Februari 2017 | 9:18pm

Wanita rayu kerajaan India haramkan pornografi

NEW DELHI: Seorang wanita mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung India supaya mengarahkan kerajaan mengharamkan pornografi atas talian sepenuhnya kerana ia menghancurkan rumah tangganya.

Dalam rayuannya, jurutera di Mumbai itu menegaskan beliau menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan seksual kerana suaminya ketagih menonton kandungan lucah atas talian.

"Suami saya ketagih menonton kandungan lucah dan menghabiskan masanya untuk tujuan itu.

"Pornografi kini mudah diperoleh menerusi internet dan akibatnya, suami saya menjadi mangsa ketagihan menonton video, filem dan gambar lucah yang merosakkan perkahwinan kami," katanya dalam rayuan.

Beliau merayu mahkamah memberikan arahan tegas kepada kerajaan supaya menyekat semua laman web mengandungi bahan lucah dan paparan tidak senonoh wanita dan kanak-kanak.

Katanya, beliau bimbang mengenai kesan ketagihan bahan lucah suaminya kepada anak mereka.

"Suami saya sudah berumur tetapi masih ketagih menonton bahan lucah, bayangkan apa ketagihan ini boleh lakukan kepada pemikiran remaja dan kanak-kanak di negara sebesar ini," katanya. - SPUTNIK NEWS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X