Jumaat, 17 Februari 2017 | 2:54pm

Lesen perubatan boleh digantung - MMC


PRESIDEN MMC, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR: Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan menggantung lesen perubatan tujuh doktor di Pulau Pinang jika didapati bersalah memalsukan sijil kecergasan kepada pemandu bas dan teksi.

Presidennya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan itu bergantung kepada hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keputusan prosiding mahkamah seperti ditetapkan dalam Akta Perubatan 1971.

"Hukuman terhadap individu terbabit termasuk menggantung lesen, memberi amaran keras dan membatalkan pendaftaran sebagai pengamal perubatan.

"Jawatankuasa Penyiasatan MMC akan mengenakan hukuman sesuai jika terbukti mereka mengabaikan dan tidak mengendahkan tanggungjawab profesional sebagai doktor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, laporan menyebut tujuh orang doktor adalah antara 10 individu yang ditahan SPRM di Pulau Pinang selepas dipercayai menawarkan pengesahan perubatan untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) pada harga RM5 hingga RM30.

Berita Harian X