Khamis, 16 Februari 2017 | 7:59pm

Rakyat Korea Utara tidak tahu berita pembunuhan Jong-nam

KIM Jong-nam dipercayai tinggal dalam buangan sejak lebih 10 tahun lalu.- Foto AP

PYONGYANG: Tidak menyedari laporan pembunuhan anak lelaki sulung dan abang kepada pemimpin terkini, Kim Jong-un, rakyat Korea Utara menyambut ulang tahun mendiang Kim Jong-Il hari ini, dengan persembahan tarian dan upacara tunduk hormat.

Jambangan bunga turut diletakkan di hadapan patung gangsa pemimpin Korea Utara itu.

Media rasmi negara komunis itu tidak menyebut langsung berita pembunuhan Kim Jong-nam di sebuah lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur Isnin lalu.

Malah, Jong-nam, dipercayai tinggal dalam buangan sejak lebih 10 tahun lalu, mungkin dianggap tidak wujud di hati rakyat negara terasing itu.

Hanya segelintir memiliki capaian sumber media luar negara dan laporan di negara itu secara umum terhad kepada berita pentadbiran Jong-un.

Anggota lain dalam keluarga itu, terutama yang membawa masalah seperti Jong-nam yang satu ketika dulu pernah mencadangkan Korea Utara menghapuskan sistem pemerintahan warisan, jarang-jarang diberi liputan.

Media tempatan berkata, Jong-un memberi penghormatan di makam mewah di sini. Beliau juga dilaporkan menghadiri mesyuarat penting semalam. - AP

Berita Harian X