Khamis, 16 Februari 2017 | 2:41pm

Jurutera didenda RM550,000

MOHD Taha didenda RM550,000 dan empat bulan penjara selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan memiliki spesies hidupan liar yang dilindungi oleh Mahkamah Sesyen Kajang hari ini. - Foto Rosela Ismail
MOHD Taha didenda RM550,000 dan empat bulan penjara selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan memiliki spesies hidupan liar yang dilindungi oleh Mahkamah Sesyen Kajang hari ini. - Foto Rosela Ismail

KAJANG: Seorang jurutera yang menyimpan hidupan liar termasuk harimau belang dan buaya di rumahnya didenda RM550,000 dan empat bulan penjara selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan memiliki spesies hidupan liar yang dilindungi oleh Mahkamah Sesyen Kajang hari ini.

Hakim Noridah Adam memerintahkan hukuman penjara 48 bulan dikenakan terhadap Mohd Taha, sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyimpan seekor harimau belang betina dan seekor kucing batu di kediamannya di No. 7, Lot 1433, Batu 13 3/4 Jalan Sekolah, Kampung Gahal Jaya, Hulu Langat di sini, jam 12.30 tengah hari, pada 19 Oktober 2016.

Pertuduhan ketiga hingga kesembilan pula, tertuduh didakwa menyimpan seekor burung helang merah, seekor burung gagak gunung, dua ekor burung Murai Jambul Putih, seekor buaya jenis Schneider's Dwarf Caiman, seekor pelanduk, seekor burung Tiong Mas dan seekor burung Murai Batu di tempat dan masa yang sama.

Kesemua haiwan itu adalah hidupan liar dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Bagi pertuduhan menyimpan harimau belang, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 70(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara maksimum lima tahun.

Pertuduhan menyimpan kucing batu pula, dia didakwa mengikut Seksyen 70(1) akta sama yang boleh dihukum denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi empat pertuduhan lain, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Tiga lagi pertuduhan, dikemukakan mengikut Seksyen 68(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap, pada 19 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Ainul Mardiyah Mohd Ali.

Tertuduh yang diwakili peguam Zaflee Pakwanteh membayar denda.

Berita Harian X