Khamis, 16 Februari 2017 | 12:58am

SPAD kenal pasti 20 syarikat bas ekspres bermasalah

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengadakan pertemuan bersama 20 pengusaha syarikat bas ekspres yang bermasalah.

Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata antara kesalahan yang direkodkan syarikat berkenaan adalah seperti tidak menjelaskan pelbagai jenis saman serta gagal mendisiplinkan pemandu.

Katanya, senarai rekod itu diperoleh pihaknya menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Pada pertemuan yang dijadualkan minggu depan itu, kami akan mengingatkan syarikat bas ekspres terbabit berhubung pelbagai kesalahan yang dicatatkan mereka, antaranya saman had laju dan juga sikap pemandu masing-masing.

"Selain rekod diterima daripada PDRM dan JPJ, pihak kami juga ada melakukan penyamaran dalam bas ekspres dan turut mengenal pasti pelbagai kesalahan dilakukan pemandu, antaranya menggunakan telefon bimbit serta menghisap rokok ketika memandu.

"Oleh itu, menerusi pertemuan ini kita berharap syarikat bas terbabit akan segera menjelaskan saman tertunggak, selain memberi nasihat kepada pemandu masing-masing bagi mengelak daripada dikenakan tindakan lebih tegas," katanya.

CHE Hasni (kanan) memeriksa dokumen pengenalan pemandu bas ekspres ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
CHE Hasni (kanan) memeriksa dokumen pengenalan pemandu bas ekspres ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai Arah Selatan di sini, malam tadi.

Operasi bermula jam 2 petang itu membabitkan penyertaan pelbagai agensi penguatkuasaan dengan kekuatan seramai 103 pegawai dan anggota.

Sebanyak 47 kes membabitkan pelbagai kesalahan dikenal pasti sehingga jam 10.30 malam tadi, termasuk dua kes membabitkan pemandu bas memandu laju serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu. 

Che Hasni berkata, SPAD melihat pertemuan bersama syarikat bas ekspres terbabit sebagai antara usaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

"Usaha ini akan kita teruskan dari semasa ke semasa dalam usaha mencegah kemalangan jalan raya," katanya.

CHE Hasni (kiri) bersama pegawainya memeriksa tayar dan berat lori treler ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
CHE Hasni (kiri) bersama pegawainya memeriksa tayar dan berat lori treler ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
CHE Hasni (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa dokumen pengenalan pemandu lori treler ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
CHE Hasni (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa dokumen pengenalan pemandu lori treler ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X